Sekilas
- One dari kumpulan Forteen menafikan pusat spa miliknya terlibat dalam insiden serbuan pusat spa lelaki yang tular baru-baru ini.
One menegaskan spa miliknya beroperasi secara sah dan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti tidak bermoral.
Penyanyi dan ahli kumpulan Forteen, One tampil menjelaskan kekeliruan orang ramai berhubung sebuah pusat spa lelaki yang tular selepas diserbu pihak berkuasa baru-baru ini.
Menurutnya, terdapat pihak yang tersalah anggap sehingga mengaitkan insiden tersebut dengan pusat spa miliknya.
One menerusi video pendek yang dimuat naik di Instagram miliknya berkata spa lelaki yang diusahakannya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti tidak bermoral dan beroperasi secara sah mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Maaf kami bukan spa yang viral baru baru ini, tetapi kami spa lelaki terbesar di Malaysia dan kami spa lelaki berlesen dan paling legit,” ujarnya.
One berharap orang ramai orang ramai menghentikan sebarang kekeliruan serta mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan mengenai kegiatan sebuah pusat spa dan kesihatan yang dipercayai menjadi lokasi golongan lelaki songsang berkumpul dan melakukan aktiviti tidak bermoral, yang terbongkar dalam serbuan di sebuah premis di Chow Kit pada Jumaat lalu.
Operasi bermula jam 8 malam itu dijalankan oleh Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hasil risikan selama dua minggu.
Tinjauan mendapati premis terbabit beroperasi di tingkat dua dan tiga sebuah bangunan rumah kedai, manakala tingkat bawah diubah suai menjadi gimnasium, dan bahagian atas menempatkan sauna serta jakuzi.
Lebih mengejutkan, premis itu turut menyediakan bilik khas ‘dark room’ untuk pengunjung melampiaskan nafsu.
Difahamkan, ahli pusat tersebut diminta menanggalkan pakaian dan hanya diberikan tuala putih sebelum dibenarkan ke tingkat atas.
Ketika serbuan dilakukan, beberapa pengunjung dilaporkan sedang menikmati kemudahan jakuzi dan sauna tanpa seurat benang sebelum menyedari kehadiran pihak berkuasa.