Sekilas
- Pelakon Niezam Zaidi akan muncul dalam filem terbaharu berjudul Orang Perang yang akan ditayangkan mulai 1 Oktober 2026.
- Niezam turut berganding suara dengan Elly Langkasuka dalam lagu runut bunyi filem, Sumpah Leluhur, ciptaan Achoi Floor 88.
- Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat dan mengangkat tema perjuangan serta pengorbanan dengan gabungan muzik yang menyentuh hati.
Pelakon, Niezam Zaidi bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul Orang Perang.
Menariknya lagi, bukan hanya sekadar berlakon malah Niezam juga turut bergandingan bersama Elly Langkasuka menerusi runut bunyi (OST) filem berkenaan berjudul Sumpah Leluhur.
Sumpah Leluhur merupakan hasil ciptaan Achoi Floor 88. Pemilihan Elly dan Achoi turut memberikan nilai tersendiri kepada OST berkenaan.
Elly merupakan vokalis kumpulan Langkasuka yang muncul juara Anugerah Lagu Indie 2025 (ALI2025) menerusi lagu Baju Yang Baru.
Manakala Langkasuka turut meraih kategori Lagu Pop Terbaik dan Persembahan Terbaik menerusi karya sama.
Sementara itu, Achoi Floor 88 pula merupakan antara penulis lirik Tiwikarma, lagu nyanyian K.O.I yang dinobatkan sebagai Juara Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) baru-baru ini.
Pencapaian tersebut mempertemukan dua nama yang mempunyai kejayaan tersendiri dalam industri muzik tempatan menerusi penghasilan Sumpah Leluhur, selain gandingan bersama Niezam yang turut memegang peranan penting dalam Orang Perang.
Sumpah Leluhur menyatukan kasih, kerinduan dan semangat perjuangan, mempertemukan suara insan yang berjuang dengan mereka yang menanti kepulangan.
Gambaran anak kecil melambai, doa keselamatan dan janji setia menghubungkan pengorbanan di medan perjuangan dengan harapan keluarga.
Antara bait lirik yang merangkum semangat tersebut ialah:
“Darah pahlawan di dalam dada
takkan ku lepas janji setia
teguh berdiri hadap dunia
semangat cinta leluhur bersama”
Penghasilan muzik Sumpah Leluhur turut melibatkan Oja pada gitar, Achoi pada bes dan Aki Seruling pada flut.
Gabungan vokal Niezam Zaidi dan Elly Langkasuka membawa dimensi kasih, kerinduan serta penantian yang melengkapi tema perjuangan dalam Orang Perang.
Orang Perang menghimpunkan barisan pelakon hebat antaranya Niezam Zaidi, Syazwan Zulkifli, Ammar Alfian, Fadli Masoot, Dewa Arteh, Izuan Razali, Adam Corrie, Hairi Safwan dan Fauzi Nawawi.
Turut membintangi filem ini ialah Razib Salimin, Kazar Sarsi, Azhan Rani, Pui Yi dan Vanida Imran.
Saksikan Orang Perang, arahan Hashim Rejab ini di pawagam seluruh negara mulai 1 Oktober 2026.