Ringkasan AI
- Ajak Shiro terbuka menerima kritikan dan rungutan mengenai harga makanan di kedai makannya, Bumbu Babah.
- Harga lauk udang yang dikritik mahal sebenarnya termasuk petai dalam sambal, yang juga mahal.
- Nasi padang di kedainya bermula dari RM5, manakala set lauk paling murah RM11.90 dan paling mahal RM14.90.
- Ajak menawarkan diskaun kepada pelanggan yang mendaftar sebagai ahli di kedainya.
- Dia sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan kedai dan menerima aduan pelanggan dengan positif tanpa marah.
Pelawak Ajak Shiro memberitahu dia sentiasa terbuka menerima sebarang kritikan dan rungutan mengenai makanan di kedai makannya iaitu Bumbu Babah.
Menyedari mengenai perkongsian seorang pelanggannya di Threads yang mengatakan lauk udang di kedai makannya mahal, Ajak bagaimanapun berkata harga tersebut termasuk dengan petai yang ada dalam sambal tersebut.
“Kalau nak kata mahal, nasi padang saya ini bermula dengan RM5 saja. Pada saya, kalau nak saya kurangkan lagi tak boleh. Kalau soal lauk pul, saya tengok paling mahal pun dalam RM7.
“Tapi ada yang RM4, RM5… cuma kalau udang ada mahal sikit tapi kalau korang datang daftar sebagai ‘member’ insyaallah dapat lagi kurang.
“Nasi saya yang paling murah dengan set lauk bermula dengan RM11.90 saja dan yang mahal dalam RM14.90. Untuk sambal udang tu ada petai… petai pun mahal juga,” katanya kepada Gempak.
Ajak ditemui ketika sidang media memperkenalkan barisan penyampai radio Suria FM di Menara Star, Petaling Jaya pada Rabu.
Dalam pada itu, Ajak yang juga penyampai radio memberitahu dia sentiasa akan cuba memperbaiki kelemahan kedai makan yang diusahakan sejak setahun lalu.
“Boleh saja nak complain… malah ada pelanggan yang complain depan saya. Cakap yang daging dendeng saya macam makan dinding. Sebab dia ada gigi palsu susah gigit dan saya cadangkan untuk dia ambil daging basah yang lebih lembut.
“Bagi saya complain ini perkara biasa. Saya suka dan tertarik dengan kehidupan saya sekarang sebagai peniaga. Saya rasa rapat dengan pelanggan-pelanggan saya. Setiap kali ada yang complain, saya takkan marah tapi saya akan perbaiki,” ujarnya.
Sebelum ini tular perkongsian seorang individu yang merungut harga sambal udang di kedai makan Ajak mahal.
Malah individu itu berkata harga tersebut tidak setimpal dengan saiz udang.
“Betul ke awak, set add on udang sambal petai empat ketul RM9.90. Teruk naw bapa mahal. Jeng tengok udang ini. Kiut kiut pula tu,” tulis individu itu.