Sekilas
- Pelawak dan hos Korea Selatan, Park Soo-hong, menyebabkan penerbangan tertangguh selepas turun dari pesawat kerana tidak tahan dengan tangisan kanak-kanak.
- Dia memohon maaf secara rasmi atas tindakan tersebut dan mengakui kurang faham tentang prosedur penerbangan yang menyebabkan kelewatan.
- Insiden itu tidak semestinya menunjukkan layanan istimewa terhadapnya sebagai selebriti kerana penumpang dibenarkan keluar dan naik semula pesawat mengikut prosedur biasa.
Seorang pelawak dan hos terkenal Korea Selatan, Park Soo hong telah mencetuskan kontroversi kerana tindakannya yang disifatkan penting diri dan cukup mengejutkan dalam satu insiden baru-baru ini.
Selebriti berusia 55 tahun itu telah menyebabkan sebuah penerbangan tertangguh kerana membuat keputusan turun daripada pesawat akibat tidak tahan mendengar tangisan seorang penumpang kanak-kanak.
Terdahulu, tular satu cerita di media sosial mendakwa Soo hong bersama keluarganya menaiki penerbangan ke Guam sebelum membuat keputusan untuk turun kerana seorang kanak-kanak tidak berhenti menangis.
Penerbangan tersebut kemudiannya dilaporkan tertangguh kira-kira sejam apabila mereka kembali menaiki pesawat selepas tangisan kanak-kanak berkenaan reda, lapor Sportschosun.
Situasi itu mencetuskan kontroversi dalam kalangan netizen, malah ada yang mempersoalkan sama ada Park Soo-hong menerima layanan istimewa hanya kerana statusnya sebagai selebriti.
Susulan kontroversi tersebut, selebiti itu menerusi akaun peribadinya pada 26 Ogos lalu tampil membuat permohonan maaf secara rasmi. Menurutnya, dia membuat keputusan untuk turun dari pesawat kerana berasa panik apabila mendengar tangisan kanak-kanak berkenaan.
Bagaimanapun, dia mengakui tidak menyedari proses untuk menaiki semula pesawat boleh mengambil masa yang agak lama disebabkan prosedur keselamatan serta urusan bagasi.
Soo Hong juga mengatakan turut beberapa kali memohon maaf kepada para penumpang dan kakitangan syarikat penerbangan, sambil mengakui insiden tersebut berlaku akibat kurangnya pemahaman mengenai prosedur penerbangan.
Dia dilaporkan berkata, “Ia berlaku kerana kejahilan saya.”
Soo hong juga mengakui pertimbangannya ketika itu adalah satu kesilapan dan berasa sangat bersalah kerana telah mengambil masa berharga para penumpang lain.
“Saya benar-benar minta maaf kepada para penumpang yang mungkin berasa tidak selesa akibat tangisan kanak-kanak tersebut di dalam pesawat. Walaupun saya sudah memohon maaf, tiada alasan untuk apa yang berlaku,” katanya.
Dalam kenyataan sama, dia turut menegaskan idak berniat untuk menyusahkan mana-mana pihak dan sekali lagi menundukkan kepala memohon maaf atas kelewatan yang berlaku.
Ironi, laporan berkaitan kontroversi itu turut menjelaskan tindakan penumpang untuk keluar secara sukarela daripada pesawat bukanlah sesuatu yang dilarang oleh peraturan. Malah, sekiranya seseorang penumpang berubah fikiran untuk turun sebelum pesawat berlepas, mereka masih boleh menaiki semula pesawat mengikut prosedur biasa.
Justeru, insiden tersebut dilaporkan tidak semestinya menunjukkan Soo-hong menerima layanan khas hanya kerana dirinya individu terkenal.