Skip to main content

Hiburan

Peminat Mula Hidu Bibit Cinta, ALVN Luah Isi Hati Dalam ‘Syarat Cinta’ - “Semakin Kita Dewasa…”

ASTROGEMPAK ALVN

Sekilas

  • ALVN kembali dengan single terbaru berjudul Syarat Cinta yang mengangkat tema cinta matang dan tulus.
  • Lagu ini dipilih sebagai lagu tema rasmi untuk drama Viu Original, Ate Kome, I Love You!.
  • Muzik video Syarat Cinta dirakam di Kinokuniya Kuala Lumpur dan menampilkan pelakon utama drama tersebut, Siti Khadijah Halim.

Selepas agak lama tidak muncul dengan karya solo baharu, penyanyi dan penulis lagu, ALVN kembali mewarnai industri muzik tempatan menerusi single terbaharunya berjudul Syarat Cinta, sebuah lagu yang mengangkat tema cinta yang matang, tulus dan sederhana.

 

Kemunculan lagu ini mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan peminat yang mula

tertanya-tanya sama ada karya tersebut mempunyai kaitan dengan kehidupan peribadi ALVN, termasuk spekulasi kononnya penyanyi itu sedang melalui fasa bahagia bersama seseorang yang istimewa.

 

Ditulis oleh ALVN bersama MsOrangelisa, Syarat Cinta mengetengahkan mesej cinta sejati tidak memerlukan syarat yang rumit atau terlalu banyak tuntutan. 

 

Sebaliknya, cinta yang paling bermakna adalah apabila seseorang memilih individu yang sama setiap hari, melalui pelbagai fasa kehidupan sehingga ke hari tua.

 

Menurut ALVN, lagu tersebut lahir daripada pemerhatiannya terhadap makna cinta yang semakin berubah seiring pertambahan usia dan kematangan seseorang.

 

“Semakin kita dewasa, kita sedar cinta bukan lagi tentang perkara yang besar atau rumit. Kadang-kadang syarat cinta itu cuma satu, memilih orang yang sama setiap hari dan terus kekal bersama hingga ke penghujung usia,” katanya.

 

Dengan melodi yang tenang serta lirik yang dekat dengan realiti kehidupan, Syarat Cinta

memperlihatkan sisi ALVN yang lebih matang dari segi penulisan dan penyampaian emosi, sekali gus menawarkan sebuah karya yang mudah dihayati oleh pelbagai lapisan pendengar.

 

Lebih menarik, Syarat Cinta turut dipilih sebagai lagu tema rasmi (OST) untuk drama terbaharu Viu Original iaitu Ate Kome, I Love You! yang bakal menemui penonton. 

 

Pemilihan lagu tersebut dilihat bertepatan dengan jalan cerita drama berkenaan yang sarat dengan elemen kasih sayang, hubungan kekeluargaan dan pencarian makna cinta sebenar.

 

Projek ini diterbitkan oleh MsOrange Solutions Creative bersama Rhunut Music, merangkumi keseluruhan penerbitan muzik dan muzik video yang dibangunkan sebagai sebuah projekkreatif menyeluruh dengan gabungan elemen muzik, visual dan penceritaan yang saling

melengkapi.

 

Turut mencuri perhatian ialah muzik video Syarat Cinta yang menjadikan Kinokuniya Kuala Lumpur sebagai lokasi utama penggambaran. 

 

Pemilihan lokasi tersebut bukan sekadar elemen visual, sebaliknya menjadi sebahagian daripada naratif yang ingin disampaikan mengenai budaya membaca, penghargaan terhadap komunikasi yang ikhlas dan kepentingan meluangkan masa berkualiti bersama insan tersayang.

 

Menerusi visual yang dipenuhi elemen buku, nota dan tulisan tangan, muzik video ini menggambarkan bagaimana perasaan boleh disampaikan dengan cara yang sederhana tetapi cukup bermakna dalam dunia yang semakin dikuasai teknologi.

 

Menambah nilai kepada kesinambungan antara dunia muzik dan drama, muzik video tersebut turut menampilkan pelakon Siti Khadijah Halim, yang juga memegang watak utama dalam Ate Kome, I Love You!.

 

Secara keseluruhannya, Syarat Cinta bukan sekadar sebuah lagu romantik, tetapi sebuah karya yang meraikan hubungan manusia, nilai kesetiaan dan keindahan memilih untuk terus mencintai orang yang sama setiap hari.

 

Syarat Cinta kini boleh distrim di semua platform penstriman digital, manakala muzik video rasminya boleh ditonton menerusi YouTube.

Anda mungkin berminat dengan

POP MART Angry Molly - Angry Energy Series Plush Pendant Blind Box

POP MART Angry Molly - Angry Energy Series Plush Pendant Blind Box

GRAPHIC Super PUMA Pocket T-Shirt Men in Dusky Gray, L

GRAPHIC Super PUMA Pocket T-Shirt Men in Dusky Gray, L

NEW Arai Tour-X5 Honda Africa Twin (LIMITED EDITION)

NEW Arai Tour-X5 Honda Africa Twin (LIMITED EDITION)

SUOMY EXCLUSIVE CAP PECCO BAGNAIA MOTOGP 2024 - RED

SUOMY EXCLUSIVE CAP PECCO BAGNAIA MOTOGP 2024 - RED

Stoned World Cup Series : Germany

Stoned World Cup Series : Germany

adidas Football Manchester United 25/26 Pre Match Jersey Men Black KA6419

adidas Football Manchester United 25/26 Pre Match Jersey Men Black KA6419

Must Watch Video

Advertisement