Sekilas
- Pempengaruh dan usahawan Nigeria, Igho Tiny Ubiribo, meninggal dunia selepas menjalani prosedur membesarkan alat sulit di Bangkok, Thailand.
- Kematian dipercayai berpunca daripada suntikan mengandungi asid hyaluronik dan lidocaine yang menyebabkan embolisme pulmonari.
- Ubiribo mengalami sakit dada dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia pada 6 Mac 2026 selepas rawatan di hospital.
Pempengaruh yang juga usahawan Nigeria, Igho Tiny Ubiribo dilaporkan meninggal dunia selepas menjalani prosedur membesarkan alat sulit di Bangkok, Thailand.
Menurut laporan Nigeria’s Guardian, punca kematian Ubiribo dilaporkan berpunca daripa suntikan pada kemaluan yang dilaporkan mempunyai kira-kira 40 mililiter asid hyaluronik dan lidocaine.
Bahan itu dipercayai boleh meningkatkan ukur lilit dan perkara itu didedahkan menerusi prosiding inkues di sebuah mahkamah di London.
Difahamkan, Ubiribo menjalani prosedur berkenaan pada 5 Mac 2026 sebelum dia dan isterinya, Danielle Simba Allen, pergi ke sebuah hotel di Bangkok.
Pasangan itu kemudiannya mendapatkan urutan selepas prosedur tersebut. Bagaimanapun, ketika sedang diurut, Ubiribo mengadu mengalami sakit dada sebelum tidak sedarkan diri sebanyak dua kali.
Dia kemudian dikejarkan dengan ambulans ke Sukhumvit Hospital untuk mendapatkan rawatan.
Menurut laporan SaharaReporters mengenai prosiding inkues itu, Ubiribo pada awalnya masih sedar dan mampu menjawab soalan doktor.
Isterinya turut memaklumkan kepada doktor mengenai suntikan pengisi yang baru dijalani Ubiribo.
Tidak lama kemudian, Ubiribo kembali tidak sedarkan diri sebelum sempat menjalani imbasan CT yang disyorkan doktor.
Doktor kemudian mendiagnosisnya mengalami embolisme pulmonari dan memindahkannya ke unit rawatan rapi.
Pasukan perubatan turut melakukan bantuan pernafasan dan pemulihan kardiopulmonari (CPR) selama lebih 100 minit.
Bagaimanapun, usaha tersebut gagal dan Ubiribo disahkan meninggal dunia pada awal pagi 6 Mac 2026.
Sumber: The Straits Time