Sekilas
- Pengarah Ariff Zulkarnain jelaskan watak Inspektor Kamal dalam drama Good Boys Go To Heaven bukan fokus utama kerana cerita lebih menumpukan pada trauma zaman kanak-kanak tiga watak utama.
- Episod 9 yang sudah ditayangkan menjawab persoalan utama mengenai kisah Ahyan dan Ustaz Reyhan, sambil menonjolkan perkembangan watak Yasser, Zayd, dan Bahamin.
- Drama ini akan disusuli dua episod bonus yang melengkapkan cerita di sebalik tragedi Kuala Makar, memberikan penonton peluang memahami keseluruhan plot dengan lebih mendalam.
Pengarah drama bersiri premium Astor Originals terbitan Astro Shaw, Good Boys Go To Heaven iaitu Ariff Zulkarnain memberi penjelasan terhadap komen segelintir penonton yang merasakan watak Inspektor Kamal yang dilakonkan Amerul Affendi tidak ‘function’ kerana tidak menyelesaikan kes Ahyan dengan sendirinya.
Ujar Ariff, utama drama ini adalah untuk membawa penonton menyelami trauma zaman kanak-kanak yang dihadapi tiga karakter utama iaitu Yasser, Zayd dan Bahamin.
Tambah Ariff, segala persoalan dan teka-teki sudah pun dijawab menerusi episod 9 yang sudah mula ditayangkan di platform Sooka dan Astro On The Go sejak Jumaat yang lalu.
“Episod 9 mengisahkan kronologi yang berlaku kepada Ahyan serta Ustaz Reyhan sebab ada persoalan yang tidak terjawab sepanjang lapan episod disiarkan.
“Saya ada juga terlihat di Threads yang mempersoal kenapa Inspektor Kismis (Amerul Affendi) bukan individu yang menyelesaikan kes dan seperti tak buat apa-apa.
“Pada saya, apa yang kami ingin sampaikan adalah mengenai Yasser, Zayd dan Bahamin serta trauma zaman kanak yang selama ini mereka rahsiakan dan bukan mengenai penyiasatan.
“Kami juga ingin mengetengahkan bagaimana anak-anak muda ini berdepan dengan perkara itu dan seterusnya membentuk diri mereka hingga dewasa,” kongsi Ariff ketika menjadi tetamu segmen Awani Pagi, baru-baru ini.
Meskipun kebenaran sudah terungkap namun perjalanan drama Good Boys Go To Heaven belum benar-benar berakhir.
Peminat bakal dihadiahkan dengan dua episod bonus yang akan melengkapkan keseluruhan kisah di sebalik tragedi Kuala Makar dengan episod 9 berjudul “My Name is Ahyan Yasser” telah disiarkan khas bagi menjawab segala teka-teki dan persoalan yang bermain di minda penonton pada Jumaat.
Manakala Bonus Episod 10 bertajuk “The Story That Needed To Be Told” pula bakal membawa penonton menyelami sisi cerita yang masih belum didedahkan sepenuhnya.
Jadi, walaupun misteri utama sudah pun terungkai, masih ada beberapa persoalan yang bakal dijawab menerusi dua episod bonus tersebut. Penonton pastinya tidak mahu melepaskan peluang untuk mengetahui keseluruhan cerita di sebalik Good Boys Go To Heaven.