Sekilas
- Marissa Dania Hakim berkongsi pendirian untuk tidak kembali kepada kisah lama demi mengekalkan ketenangan diri melalui video di TikTok.
- Dia menegaskan tidak akan lupa sebab memilih untuk pergi dan mahu meneruskan kehidupan tanpa mengulas lanjut tentang individu terlibat.
- Marissa dan Ahmad Aslam disahkan bercerai pada Jun lalu, selepas kontroversi perkahwinan mereka di Thailand ketika Aslam masih berkahwin dengan pempengaruh lain.
Perkongsian pempengaruh Marissa Dania Hakim mengenai pendiriannya untuk tidak kembali kepada kisah lama selepas memilih membawa haluan sendiri menarik perhatian pengguna media sosial.
Menerusi video dalam TikTok, Marissa dilihat memandu dan menikmati minuman, namun kata-kata yang tertera pada rakaman tersebut menjadi tumpuan ramai.
Dalam perkongsian berbahasa Inggeris itu, dia menegaskan tidak akan melupakan sebab dirinya memilih untuk pergi, selain mahu mempertahankan ketenangan yang diperjuangkan.
“Saya tidak akan lupa mengapa saya memilih untuk pergi. Saya sudah berjuang terlalu keras demi ketenangan diri untuk ditarik semula ke dalam bab yang sudah saya tutup.
“Saya sudah meneruskan kehidupan dan berhasrat untuk mengekalkannya begitu,” tulisnya dalam terjemahan bahasa Melayu.
Bagaimanapun, Marissa tidak menyatakan secara khusus individu atau perkara yang dimaksudkan menerusi kata-kata tersebut.
Menjengah ruangan komen, ramai pengguna media sosial memberikan sokongan dan menasihatinya supaya mengutamakan kebahagiaan serta kesejahteraan diri.
“Kamu layak mendapat yang jauh lebih baik. Jangan pandang belakang lagi. Kesilapan pertama jadikan pengajaran. Insya-Allah bahagia milik kamu.
“Jangan patah balik. Utamakan kesihatan mental, bahagiakan diri sendiri dahulu,” komen beberapa netizen.
Untuk rekod, Marissa dan Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid disahkan tidak lagi bergelar suami isteri oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Jun lalu.
Aslam sebelum ini dilaporkan pernah melafazkan cerai dan rujuk sebanyak dua kali sepanjang perkahwinan mereka.
Perkahwinan pasangan itu turut mencetuskan kontroversi apabila mereka dilaporkan bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023 ketika Aslam masih bergelar suami kepada pempengaruh Umisya Mazlan.