Sekilas
- Puteri Gunung Ledang The Musical tambah satu hari persembahan lagi selepas tiket habis dijual dalam masa dua jam.
- The Grand Finale 2026 akan berlangsung pada 17 November dengan barisan pelakon generasi baharu termasuk Aisha, Mila Mohsin, dan Aqasha.
- Tiket akan mula dijual secara eksklusif di platform CloudJoi pada 9 November jam 12 tengah hari.
Selepas menerima sambutan luar biasa, pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical bakal menambah satu hari lagi persembahan menerusi The Grand Finale 2026.
Menerusi satu hantaran di Instagram, pihak Jeffrey Cheah Perfoming Arts Centre memaklumkan keputusan itu dibuat selepas menerima sambutan menggalakkan dariapda peminat pementasan itu.
“23,000 tiket habis dijual dalam tempoh hanya dua jam. Tepukan gemuruh penonton setiap malam, ulasan positif dan ramai yang berkongsi pengalaman serta mengajak keluarga dan rakan-rakan supaya tidak melepaskan peluang menyaksikan Puteri Gunung Ledang The Musical.
“Namun, permintaan terus diterima. Ramai yang meminta supaya satu lagi persembahan ditambah. Kami mendengar permintaan anda!
“Kasih sayang yang diberikan benar-benar luar biasa. Selepas 20 tahun, legenda ini masih hidup dalam hati rakyat Malaysia,” menurut kenyataan tersebut.
The Grand Finale 2026 dijadual berlangsung pada 17 November ini, jam 8.30 malam.
Tiket pula akan mula dijual pada Isnin, 9 November, jam 12 tengah hari secara eksklusif menerusi platform CloudJoi.
Pementasan berskala besar itu menampilkan kira-kira 50 pelakon di atas pentas termasuk anggota ensembel.
Menariknya, naskhah kali ini menyaksikan gandingan barisan bintang generasi baharu apabila watak Gusti Puteri Retno Dumilah dikongsi bersama oleh Aisha dan Mila Mohsin, manakala Aqasha menggalas watak pahlawan legenda, Hang Tuah.
Pementasan itu turut menampilkan Mimi Fly dan Nadia Aqilah yang bergilir-gilir membawa watak Bayan.
Selain itu, Luqman Hafidz memegang watak Sultan Mahmud Shah, manakala Yusof Hashim pula membawakan watak Gusti Adipati Handaya Ningrat.