Sekilas
- Euni Wong, finalis Miss Universe Malaysia 2026, mengakui pernah beranggapan peserta ratu cantik hanya cantik tanpa kebijaksanaan sebelum mengenali industri ini dengan lebih dekat.
- Dia melihat pertandingan ini sebagai platform untuk mencipta perubahan positif dan perkembangan diri, bukan sekadar mengejar mahkota semata-mata.
- Walaupun baru menyertai pada usia 30-an, pengalaman hidup Euni dalam bidang maskulin seperti perlumbaan kereta dan kewangan dianggap sebagai kekuatan untuk membawa identiti Malaysia ke pentas antarabangsa.
Tidak pernah mempunyai latar belakang dalam pertandingan ratu cantik, finalis Miss Universe Malaysia 2026, Euni Wong mengakui pernah mempunyai persepsi tersendiri terhadap wanita yang menyertai dunia pageant.
Malah, Euni secara terbuka mengakui pernah beranggapan peserta pertandingan ratu cantik hanya mempunyai kecantikan tanpa kebijaksanaan.
Namun, tanggapan tersebut berubah selepas dia sendiri mula mengenali dan melalui pengalaman dalam industri berkenaan.
“Saya dahulu selalu fikir wanita yang masuk pertandingan ratu cantik hanyalah perempuan yang ada kecantikan tetapi tiada kebijaksanaan.
“Saya rasa saya silap. Industri pertandingan ratu cantik sekarang sudah banyak berkembang dan kita memerlukan wanita yang mempunyai kecantikan, kebijaksanaan, pengalaman serta sumbangan,” katanya.
Bagi Euni, penyertaannya dalam Miss Universe Malaysia juga bukan semata-mata mengenai usaha mendapatkan mahkota.
Sebaliknya, dia melihat pertandingan tersebut sebagai platform untuk mencipta perubahan bermakna dan positif, selain menjadi sebahagian daripada perjalanan perkembangan dirinya sendiri.
“Secara peribadi, saya percaya Miss Universe bukan hanya mengenai mahkota. Itu hanyalah simbol.
“Saya fikir ia sebenarnya sebuah platform untuk mencipta perubahan yang bermakna dan positif.
“Bagi diri saya pula, ia adalah satu perjalanan peribadi yang melibatkan banyak perkembangan diri,” katanya.
Dalam pada itu, Euni turut sedar penyertaannya pada usia 30-an mungkin berbeza berbanding kebanyakan wanita yang mula menceburi dunia pertandingan ratu cantik ketika berusia awal 20-an.
Bagaimanapun, pengalaman hidup yang dikumpul selama ini membuatkan Euni percaya sekarang merupakan waktu lebih tepat untuknya mencuba.
“Ramai orang bertanya kenapa saya baru bermula sekarang. Biasanya perempuan bermula ketika awal usia 20-an, tetapi saya tidak pernah melakukannya. Sekarang saya sudah dalam usia 30-an, baru saya lakukannya.
“Kalau saya melakukannya 10 tahun lalu, mungkin saya akan bertanya kepada industri ini, ‘Apa yang pertandingan ini boleh berikan kepada saya?’
“Tetapi sekarang, persoalannya adalah apa yang saya boleh tawarkan kepada dunia kerana saya mempunyai lebih banyak pengalaman,” katanya.
Menariknya, Euni juga tidak pernah mengikuti perkembangan Miss Universe Malaysia sebelum ini dan mengakui sebahagian besar kehidupannya banyak dihabiskan dalam bidang yang lebih didominasi lelaki.
Antaranya termasuk perlumbaan kereta, kewangan dan perdagangan sebelum dia mengambil keputusan untuk meneroka sisi dirinya yang lebih feminin.
“Saya tidak mempunyai sebarang latar belakang pertandingan ratu cantik. Saya sudah menjalani pelbagai kehidupan dan melakukan macam-macam perkara, dan ini kali pertama saya memasuki sesuatu yang lebih feminin.
“Kebanyakan perkara yang saya lakukan lebih maskulin seperti perlumbaan kereta, perdagangan dan kewangan. Jadi, saya fikir sudah tiba masanya untuk saya kembali kepada sisi diri yang lebih lembut,” katanya.
Euni pada awalnya pernah menerima tawaran menyertai Universal Woman dan bercadang melihat terlebih dahulu sama ada dunia pertandingan ratu cantik benar-benar sesuai dengannya.
Namun, selepas memikirkan soal komitmen masa, wang dan usaha yang perlu diberikan, dia akhirnya memilih untuk mencuba pentas lebih besar menerusi Miss Universe Malaysia.
Peluang itu hadir secara kebetulan apabila Euni dimaklumkan mengenai pembukaan penyertaan sebelum membuat keputusan pulang ke Kuala Lumpur untuk menghadiri sesi uji bakat hanya sekitar seminggu kemudian.
Selepas sesi uji bakat, Euni turut terbang menyaksikan Miss Universe Thailand bagi memahami sendiri skala pertandingan tersebut dan membuat visualisasi terhadap perjalanan yang sedang dilaluinya.
Sebagai wanita yang membesar di Johor sehingga berusia 18 tahun sebelum membina kehidupan di luar negara, Euni percaya pengalaman antarabangsanya boleh menjadi antara kekuatan untuk membawa identiti Malaysia ke pentas lebih besar.