Sekilas
- Pelakon Yuri Nakamura, terkenal dengan watak Irene dalam siri Netflix Romantics Anonymous, meninggal dunia pada usia 44 tahun selepas bertarung dengan kanser rektum selama 13 tahun.
- Berita pemergian beliau diumumkan oleh agensinya pada 14 September 2026, selepas pengebumian yang dihadiri keluarga dan rakan terdekat selesai.
- Yuri dikenang sebagai seorang yang kuat dan penyayang, serta meninggalkan kesan mendalam kepada rakan seperjuangannya dalam industri lakonan.
Pelakon kelahiran Jepun berketurunan Korea, Yuri Nakamura, meninggal dunia pada usia 44 tahun selepas bertarung dengan kanser rektum.
Bintang yang cukup dikenali menerusi watak Irene dalam siri komedi romantik popular Netflix, Romantics Anonymous itu telah meninggal dunia pada 1 September lalu namun agensinya, Alpha Agency baru mengumumkan khabar duka tersebut pada 14 September 2026.
Menurut agensi, urusan pengebumian Yuri telah selesai dan hanya dihadiri keluarga terdekat serta rakan-rakan artis dan kakitangan agensi, lapor CNA.
Menurut agensi sebenarnya telah disahkan menghidap kanser sejak 13 tahun lalu. Namun ketika itu, Nakamura dan presiden agensinya bersetuju untuk tidak mendedahkan mengenai penyakit tersebut kepada umum.
“Dia terus menjalani kehidupan dengan gembira sambil melakukan pekerjaan yang dicintainya, selain tidak pernah gagal menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala,” jelas agensi.
Bagaimanapun, pada Januari tahun lalu, kanser tersebut kembali dikesan. Walaupun pembedahan berjaya dilakukan, pemeriksaan susulan mendapati kanser itu telah merebak.
Ketika itu, peluang untuk sembuh sepenuhnya atau mencapai remisi dilihat agak sukar.
Dia kemudian memilih untuk meneruskan rawatan bagi mengawal penyakit tersebut, dengan fokus untuk memanjangkan hayat serta menjalani kehidupan yang lebih bermakna.
Pada Ogos lalu, dia sekali lagi mengalami masalah usus tersumbat dan diberitahu bahawa masanya sudah tidak panjang.
“Dia kekal tenang dan tidak pernah kehilangan senyuman manis serta sifat penyayangnya. Dia juga sempat menikmati saat-saat terakhir bersama keluarga dan insan-insan terdekat,” ujar kenyataan itu lagi.
Dilahirkan di Osaka Jepun, aktres tersebut telah membintangi pelbagai filem dan siri televisyen termasuk Ju-On: Black Ghost (2009) dan Beyond Goodbye (2024).
Pemergian Nakamura ditangisi rakan seperjuangan terutama yang pernah bergandingan bersamanya. Salah seorangnya adalah Ryohei Suzuki yang mengakui masih sukar untuk menerima hakikat mengenai pemergian aktres tersebut.
“Saya bertemu Yuri Nakamura 20 tahun lalu ketika di sekolah lakonan dan kami kemudiannya bekerja bersama berkali-kali selama bertahun-tahun. Dia seorang yang kuat tetapi lembut, bermaruah dan cantik. Benar-benar seperti bunga lili. Pemergiannya sangat menyedihkan,” katanya.