Sekilas
- Farah Ahmad menegaskan penglibatan kanak-kanak dalam karya yang mengandungi elemen keganasan atau trauma perlu diberi perhatian serius kerana boleh menjejaskan emosi dan kesihatan mental mereka.
- Ibu bapa disarankan untuk lebih peka dengan skrip dan watak yang ditawarkan sebelum membenarkan anak mereka berlakon dalam produksi tersebut.
- Farah juga menegaskan pihak produksi perlu memastikan sokongan mental seperti kaunseling disediakan selain menjaga keselamatan fizikal pelakon kanak-kanak di set penggambaran.
Pelakon, Farah Ahmad berpendapat penglibatan kanak-kanak dalam karya yang melibatkan elemen keganasan atau trauma perlu diberi perhatian serius kerana ia boleh memberi kesan terhadap emosi dan kesihatan mental mereka.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Farah berkata, ibu bapa harus lebih peka dengan skrip serta watak yang ditawarkan kepada anak-anak sebelum membenarkan mereka terlibat dalam sesuatu produksi.
“Itu fasal kanak-kanak kurang sesuai berlakon dalam cerita yang melibatkan keganasan atau trauma yang kita tak pasti apa yang akan disimpan.
“Penting untuk ada counter back (pakar kaunseling) bagi pelakon kanak-kanak di set cerita terlibat,” tulisnya.
Dalam hantaran yang sama, Farah juga menegaskan pihak produksi perlu mengambil kira keadaan mental pelakon kanak-kanak dan bukan sekadar memastikan keselamatan fizikal mereka ketika berada di set penggambaran.
“Pihak production atau yang dewasa perlu penerangan atau pganjaran akan babak yang dilakukan.
“Ianya bukan sahaja fizikal tetapi yang sangat penting untuk mental kerana ianya tidak nampak dengan mata kasar dan kesan dia bukan dalam masa terdekat.
“Jadi ibu bapa sila baca skrip watak apa yang ditawarkan kepada anak anda,” coretnya.
