Sekilas
- Harissa Adlynn pernah didekati oleh seorang aktor yang sudah mempunyai teman wanita, namun dia memilih untuk menjaga batas dan tidak memberi harapan.
- Dia menekankan pentingnya profesionalisme di set penggambaran dan tidak akan memulakan hubungan romantis ketika bekerja.
- Harissa sentiasa berhati-hati menjaga reputasi diri dan keluarga, terutama kerana isu hubungan dengan rakan sekerja boleh menjejaskan nama baik pelakon wanita.
Pelakon, Harissa Adlynn mendedahkan pernah berdepan situasi apabila didekati oleh seorang aktor yang sudah mempunyai teman wanita.
Bagaimanapun, Harissa atau nama lengkapnya, Harissa Adlynn Abdul Halim menegaskan dia memilih untuk menjaga batas dan tidak memberikan layanan yang boleh menimbulkan salah faham atau memberi harapan kepada individu berkenaan.
"Ada sahaja perkara seperti itu pernah berlaku. Saya tetap bersikap baik dan ramah, tetapi tidak memberikan perhatian lebih sehingga membuatkan mereka merasakan saya menyukai mereka," katanya kepada Gempak.
Harissa berkongsi perkara itu ketika ditemui di set penggambaran filem Keluang Man di Lembaga Getah Malaysia, Kuala Lumpur, pada Khamis.
Tambah Harissa, sikap profesionalisme merupakan perkara paling penting sepanjang berada di set penggambaran dan tidak akan sesekali memulakan hubungan romantis ketika sedang menjalankan tugas.
"Bagi saya, sangat penting untuk bersikap profesional di set penggambaran. Sekiranya suatu hari nanti saya menyukai pasangan lakon sendiri pun, saya tidak akan memulakan apa-apa ketika berada di set.
"Kalau ada apa-apa, biarlah ia berlaku di luar set kerana saya sangat mengutamakan profesionalisme," ujarnya.
Dalam pada itu, Harissa mengakui isu membabitkan hubungan dengan rakan sekerja boleh memberi kesan kepada reputasi seseorang, khususnya pelakon wanita.
Disebabkan itu, dia sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakannya demi menjaga nama baik diri dan keluarga.
"Perkara seperti ini boleh menjejaskan reputasi mana-mana pelakon wanita dan ia tidak baik untuk nama saya.
"Saya bekerja keras untuk melindungi nama sendiri serta keluarga. Jadi, kalau ada orang cuba menjejaskannya, sudah tentu saya akan marah.
"Tetapi saya juga mempunyai tanggungjawab untuk tidak melayan individu tersebut," katanya lagi.