Sekilas
- Justin Bieber akan membuat persembahan separuh masa final Piala Dunia 2026 di New York bersama Madonna, Shakira, BTS dan lain-lain dalam acara berdurasi 11 minit yang diinspirasikan daripada konsep Super Bowl.
- Persembahan ini bertujuan mengumpul dana sebanyak AS$100 juta untuk FIFA Global Citizen Education Fund bagi membantu akses pendidikan kanak-kanak di seluruh dunia.
- Piala Dunia 2026 kini memasuki suku akhir dengan perlawanan penting melibatkan Perancis, Maghribi, Sepanyol, Belgium, Norway, England, Argentina dan Switzerland, sementara Lionel Messi mendahului perebutan Kasut Emas.
Justin Bieber sah menyertai barisan bintang dunia yang bakal memeriahkan persembahan separuh masa final Piala Dunia 2026 di New York pada 19 Julai ini.
Menurut laporan BBC, penyanyi sensasi dari Kanada itu akan membuat persembahan bersama Madonna, Shakira dan kumpulan K-pop popular BTS dalam pertunjukan separuh masa pertama seumpamanya yang diinspirasikan daripada konsep Super Bowl. Ia merupakan persembahan julung kali diadakan di piala dunia.

Turut memeriahkan persembahan berdurasi 11 minit itu adalah Burna Boy, Gustavo Dudamel, PS22 Chorus bersama Coldplay, selain kemunculan istimewa watak-watak ikonik Sesame Street. Persembahan tersebut diadakan bagi menyokong FIFA Global Citizen Education Fund.
"Piala Dunia FIFA menyatukan seluruh dunia dengan cara yang tiada acara lain mampu lakukan," kata Bieber.
Awal tahun ini, pelantun lagu Peaches itu kembali menghiburkan peminat menerusi persembahan penuh nostalgia di festival Coachella di California. Ia merupakan penampilan pentas terbesar Bieber dalam tempoh empat tahun selepas membatalkan jelajah dunia Justice World Tour susulan masalah kesihatan.
Ketika persembahan tersebut, Bieber menyanyikan semula lagu-lagu hitnya seperti Baby, Never Say Never, One Time dan Beauty and the Beat, sekali gus mengimbau kenangan peminat yang membesar bersama muziknya.
Sementara itu, persembahan separuh masa final Piala Dunia dikendalikan oleh vokalis Coldplay, Chris Martin yang bertujuan mengumpul dana sebanyak AS$100 juta (kira-kira RM425 juta) menerusi FIFA Global Citizen Education Fund bagi membantu menyediakan akses pendidikan kepada kanak-kanak di seluruh dunia.
Dalam masa sama, Shakira dan Burna Boy yang sebelum ini membuka tirai kejohanan di tiga negara tuan rumah iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, turut kembali bergandingan di pentas final.
Lagu kolaborasi mereka, Dai Dai, kini menjadi fenomena global apabila mendominasi carta muzik serta sering dimainkan di stadium sepanjang kejohanan berlangsung.
Sementara itu, saingan Piala Dunia 2026 kini memasuki peringkat suku akhir dengan hanya lapan pasukan masih kekal bersaing.

Perancis bakal berdepan Maghribi di Boston, manakala Sepanyol menentang Belgium di Los Angeles. Norway pula dijadual bertemu England di Miami, sementara juara bertahan Argentina akan beraksi menentang Switzerland di Kansas City.
Dalam perebutan Kasut Emas, kapten Argentina Lionel Messi terus mendahului senarai penjaring dengan lapan gol. Bintang Perancis Kylian Mbappé dan penyerang Norway Erling Haaland masing-masing mengumpul tujuh gol, manakala penyerang England, Harry Kane berada di belakang dengan enam jaringan.