Skip to main content

Berita Tempatan

Pitahati Curi Perhatian Di AXEAN Festival 2026, Muzik Tak Sepatutnya Berhenti Di Sempadan Negara

Pitahati Curi Perhatian Di AXEAN Festival 2026, Muzik Tak Sepatutnya Berhenti Di Sempadan Negara

Sekilas

  • Kugiran Pitahati membuat persembahan di AXEAN Festival 2026 di Bali, membuka peluang muzik Malaysia dikenali di peringkat serantau Asia Tenggara.
  • Festival ini bukan sahaja platform persembahan, malah ruang membina jaringan dan peluang kolaborasi dengan artis serta penggiat industri dari pelbagai negara.
  • Pitahati melihat pengalaman ini sebagai peluang untuk muzik mereka diterima oleh pendengar baru dan memahami perkembangan scene muzik serantau.
Advertisement

Kugiran Pitahati terus mencipta langkah positif di pentas muzik serantau apabila membuat persembahan di AXEAN Festival 2026 yang berlangsung di Jimbaran Hub, Bali, baru-baru ini.

Band yang dikenali dengan identiti muzik tersendiri itu tampil pada 29 dan 30 Ogos, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk muzik Malaysia didengari serta dikenali oleh peminat dan penggiat industri dari rantau Asia Tenggara.

Advertisement

Lebih membanggakan, penyertaan Pitahati di festival berkenaan bukan sekadar memenuhi undangan persembahan, sebaliknya menjadi satu lagi bukti bahawa artis tempatan mempunyai potensi untuk menembusi pasaran muzik ASEAN.

Bagi syarikat rakaman Luncai Emas, AXEAN Festival menjadi platform penting untuk menguji sejauh mana muzik Pitahati mampu diterima dalam ekosistem muzik yang lebih luas.

Menurut Pengurus Produksi Luncai Emas, Keon, Pitahati sememangnya mempunyai karakter muzik dan pengalaman persembahan yang menjadikan mereka sesuai untuk dibawa ke pentas berprofil serantau seperti AXEAN.

“Bagi kami, Pitahati adalah antara artis yang sesuai untuk dibawa ke ruang seperti AXEAN. Mereka mempunyai identiti muzik yang jelas dan pengalaman persembahan yang kuat.

“Kita mahu lihat sejauh mana muzik mereka boleh diterima di luar Malaysia, khususnya dalam ekosistem muzik Asia Tenggara,” katanya.

AXEAN Festival sememangnya dikenali sebagai antara platform penting dalam usaha memperkenalkan muzik Asia Tenggara ke peringkat lebih luas. Selain persembahan muzik, festival itu turut menghimpunkan penggiat industri, delegasi muzik serta artis dari pelbagai negara menerusi persidangan industri, business matchmaking, sesi rangkaian dan program pembangunan artis.

Justeru, peluang Pitahati berada di tengah-tengah ekosistem tersebut dilihat cukup signifikan dalam usaha membina jaringan baharu untuk perkembangan kerjaya mereka.

“Kami tidak melihat ini sebagai satu persembahan semata-mata. Ini juga tentang membina hubungan.

“Kalau selepas AXEAN ada peluang untuk Pitahati bermain di negara lain, berkolaborasi dengan artis serantau atau mendapat perhatian daripada pihak industri luar, itu adalah antara hasil yang kami harapkan,” ujar Keon.

Dalam masa sama, Luncai Emas berharap kejayaan penyertaan artis tempatan di platform seperti AXEAN dapat membuka lebih banyak peluang kepada muzik Malaysia untuk bergerak secara konsisten di luar negara.

“Kami juga berharap bahawa usaha-usaha seperti ini akan mendapat lebih banyak sokongan dan perhatian daripada pelbagai cabangan kerajaan mahupun swasta supaya identiti muzik Malaysia itu lebih dikenali di seluruh Asia Tenggara, malah di seluruh dunia,” katanya lagi.

Bagi Pitahati pula, pentas AXEAN memberi pengalaman berharga untuk mereka membawa muzik yang selama ini dekat dengan jiwa pendengar Malaysia kepada khalayak yang lebih pelbagai.

Vokalis Pitahati, Ilham, menyifatkan penyertaan itu sebagai peluang untuk mereka melihat sendiri bagaimana muzik mereka diterima oleh pendengar yang mungkin belum pernah mengenali Pitahati sebelum ini.

“Kami sudah lama percaya bahawa muzik tak sepatutnya berhenti di sempadan negara. AXEAN bagi kami satu ruang untuk tengok bagaimana muzik Pitahati boleh berkomunikasi dengan pendengar yang mungkin tak pernah dengar kami sebelum ini,” katanya.

Bukan itu sahaja, Pitahati turut mengambil kesempatan untuk bertemu dengan barisan pemuzik dari negara lain dan menyelami perkembangan scene muzik serantau.

“Kami juga teruja untuk bertemu dengan band-band dari negara lain dan melihat sendiri apa yang sedang berlaku dalam scene mereka,” tambah Ilham.

Sementara itu AXEAN Festival 2026 menghimpunkan lebih 40 artis di tiga pentas, dengan penyertaan pemuzik dari Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Macau, Perancis serta beberapa negara lain.

Edisi kali ini turut meneruskan program songwriting camp selain memperkenalkan elemen baharu yang berasaskan budaya makanan Asia Tenggara.

Anda mungkin berminat dengan

adidas Football Arsenal 25/26 Home Authentic Jersey Men Red JI9516

adidas Football Arsenal 25/26 Home Authentic Jersey Men Red JI9516

adidas Football Argentina 26 Home Jersey Women White KA8125

adidas Football Argentina 26 Home Jersey Women White KA8125

adidas Lifestyle ADIDAS DISNEY MICKEY MOUSE CAP Unisex Blue KA9885

adidas Lifestyle ADIDAS DISNEY MICKEY MOUSE CAP Unisex Blue KA9885

adidas Football WORLD CUP OFFICIAL EMBLEM CAP Unisex Black KE7368

adidas Football WORLD CUP OFFICIAL EMBLEM CAP Unisex Black KE7368

Mofusand x Sanrio Family Plush Mini Keychain - Cute Gift

Mofusand x Sanrio Family Plush Mini Keychain - Cute Gift

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

Must Watch Video

Advertisement