Sekilas
- Prince Syed berkongsi pengalaman cemas ketika dia dan keluarganya menghadapi insiden misteri yang menyebabkan dia terpaksa buat siaran langsung untuk minta tolong.
- Siaran langsung selama sembilan minit itu berjaya menarik perhatian keluarga dan jiran yang datang membantu menyelamatkan mereka dari situasi berbahaya.
- Syed kini dalam proses pemulihan dan berharap orang ramai faham bahawa siaran langsung itu dibuat semata-mata untuk kecemasan, bukan untuk sensasi.
Personaliti media sosial, Prince Syed, akhirnya tampil menjelaskan detik cemas yang memaksanya membuat siaran langsung di media sosial baru-baru ini, sehingga mencetuskan perhatian ramai.
Menurut Syed, kejadian itu berlaku ketika dia dan tiga ahli keluarganya mengalami satu insiden yang disifatkan sebagai sesuatu yang 'tidak baik' dan berlarutan dalam tempoh agak lama sehingga mereka tidak mampu menghubungi sesiapa pun untuk meminta bantuan.
“Saya call family berkali-kali, tapi seorang pun tak angkat. Masa tu kami berempat memang dalam keadaan tak okay. Bila saya tersedar, saya dah terbaring di lantai. Kepala, badan — semua sakit dan bengkak,” katanya kepada Gempak.
Syed berkata, ketika cuba sedarkan, dia merangkak mencari telefon yang terpelanting sebelum menghubungi semula ahli keluarga, namun usaha itu gagal.
Pada saat itu, keputusan nekad diambil untuk membuat sesi siaran langsung sebagai notifikasi kepada keluarga atau kenalan rapat yang mengenali dan tahu kedudukan rumahnya.
“Saya tak fikir apa dah. Saya buka live sebab berharap jiran atau sesiapa yang tahu rumah saya boleh datang tolong. Atau sekurang-kurangnya keluarga dapat notification,” jelasnya.
Live tersebut berlangsung kira-kira sembilan minit sebelum terhenti, namun detik itu cukup untuk menyelamatkan nyawanya apabila keluarga dan jiran-jiran segera bergegas ke rumah.
“Alhamdulillah, abang, kakak, ibu, jiran-jiran semua dapat notification dan terus datang. Mereka bawa saya keluar dari rumah sebab ada sesuatu yang tak elok dalam rumah tu,” ceritanya.
Syed juga mengakui bahawa dia hanya kembali sedar sepenuhnya ketika sudah berada di dalam kereta bersama abang sulungnya.
Keluarga turut merakam keadaan sebenar sewaktu menyelamatkannya dan video itu membuatkan Syed sendiri berasa takut apabila menontonnya semula.
“Saya ada videonya, tapi saya tak berani nak sebarkan. Keadaan masa tu memang sangat menakutkan.
“Saya memang tak izinkan sesiapa publish. Live itu bukan untuk jadi sensasi. Saya cuma perlukan bantuan kecemasan," tambahnya yang tidak dapat dipastikan sama ada dirinya dirasuk atau ada pihak menghantar 'sesuatu' ke tempat tinggalnya.
Syed kini masih dalam proses pemulihan dan berharap agar orang ramai memahami situasi sebenar yang berlaku.