Sekilas
- INNOVATHON musim ketiga kembali dengan penyertaan dua kali ganda, meningkat kepada 2,032 peserta berbanding 1,003 pada tahun sebelumnya.
- Program ini menampilkan selebriti popular seperti Erra Fazira sebagai juri, Amelia Henderson dan Awal Ashaari sebagai hos, serta Datuk Aznil Nawawi sebagai mentor.
- Penonton boleh saksikan inovasi kreatif peserta bermula 6 Disember 2025, jam 9 malam di Astro RIA, Astro Vaanavil, Astro Showcase, Astro GO dan sooka!
Program TV inovasi terbaik Asia, INNOVATHON dengan kerjasama Astro dan Kementerian Ekonomi dan MOSTI kembali dengan musim yang ketiga.
Menariknya, INNOVATHON musim ketiga ini menyaksikan skala yang lebih besar dan penyertaan dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Jumlah penyertaan pada tahun ini adalah sebanyak 2,032 berbanding 1,003 pada tahun 2024 iaitu peningkatan lebih daripada 100%.
Ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia semakin berani tampil ke hadapan untuk memperagakan produk-produk inovasi keluaran tempatan yang bermutu tinggi, berkualiti dan mempunyai impak yang besar kepada masyarakat.
Mereka yang dipilih untuk memasuki musim kali ini juga bukan calang-calang, masing-masing mempunyai kehebatan tersendiri.
INNOVATHON musim ketiga ini menyaksikan primadona negara, Erra Fazira memegang peranan sebagai juri.
Selain itu, pelakon, Amelia Henderson dan Awal Ashaari diberi tanggungjawab sebagai hos bagi rancangan manakala Ceddy Ang selaku hos kapsul.
Pengacara tersohor negara, Datuk Aznil Nawawi pula berperanan sebagai Mentor INNOVATHON yang membimbing dan memberi motivasi kepada para peserta.
Penonton akan dapat melihat pelbagai idea dan ciptaan inovatif kreatif ini bermula pada Sabtu, 6 Disember 2025, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro RIA (saluran 104), Astro Vaanavil, Astro Showcase dan strim di Astro GO serta sooka!