Skip to main content

Berita Tempatan

Rafidah Ibrahim Diberi 7 Hari Bayar Ganti Rugi RM281,200

rafidah

Pelakon, Rafidah Ibrahim diminta menjelaskan ganti rugi RM281,200 dalam tempoh tujuh hari kepada seorang ahli perniagaan berhubung kes saman fitnah, pada empat tahun lalu.

Perkara itu membabitkan keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Julai 2024, yang membenarkan saman fitnah oleh Datuk Haris Embong, 48, dan syarikatnya Arisprop Holdings Sdn Bhd terhadap Rafidah, 39.

Advertisement

Firma, Izral Partnership yang mewakili Haris dan syarikat yang menjalankan perniagaan produk sejuk beku, ‘Aris Burger’ berkata, Rafidah perlu membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada Haris dan RM150,000 kepada Arisprop Holdings.

Katanya, mahkamah juga mengarahkan penyanyi berkenaan selaku defendan membayar kos keseluruhan sebanyak RM30,000 dan yuran peruntukan RM1,200.

Menurutnya, notis pertama telah diserahkan kepada Rafidah melalui firma guaman terdahulu, pada 19 September 2024 namun sehingga kini gagal mendapat sebarang maklum balas.

Susulan itu firma Izral berkata, jika Rafidah gagal membayar ganti rugi dalam masa tujuh hari dari tarikh surat tersebut, tindakan lanjut akan diambil.

Sementara itu, peguam, Mohd Izral Khairy yang mewakili plaintif, mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi media pada Isnin.

Notis pertama dihantar kepada firma guaman bagi pihak Rafidah di Shah Alam pada 20 Ogos tahun lalu bagi menuntut pembayaran berkenaan seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi.

Notis kedua pula dihantar kepada firma guaman di Gombak yang baharu dilantik Rafidah pada 19 September lalu.

Notis berkenaan menyatakan ia mengambil maklum bahawa surat bertarikh 20 Ogos tahun lalu kepada firma guaman mewakili defendan tidak mendapat sebarang maklum balas.

Sementara itu, Haris dalam satu kenyataan berkata, banyak masa telah diberi Rafidah untuk menyelesaikan tuntutan.

“Tindakan sewajarnya akan diambil jika beliau gagal membuat pembayaran atas jumlah yang dinyatakan.

“Tuntutan ini dibuat bagi membersihkan imej saya dan syarikat atas tuduhan fitnah berkenaan,” katanya.

Dalam saman yang difailkan pada Oktober 2021, Haris mendakwa Rafidah yang juga pempengaruh media sosial telah menerbitkan dua hantaran di Facebook pada 21 September dan 18 Oktober 2021.

Ia berhubung dakwaan berhubung isu keengganan membayar hasil kerja selebriti itu.

Pada 31 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan Rafidah membayar ganti rugi RM250,000 kepada usahawan dan syarikat terbabit.

Hakim, Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee berkata, mahkamah mendapati hantaran kedua yang diterbitkan defendan di media sosial ialah bersifat fitnah kerana perkataan yang digunakan itu telah mendedahkan plantif-plaintif kepada kebencian, cemuhan atau penghinaan.

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement