Sekilas
- Rahim Sepahtu menegaskan pentingnya selebriti mempunyai 'backup plan' untuk sumber pendapatan selain kerjaya seni yang tidak menentu.
- Rahim memilih untuk berniaga makanan sebagai alternatif, khususnya perniagaan roti canai kari kambing di Jalan Kebun, Selangor.
- Beliau melihat perniagaan sebagai sumber rezeki halal dan persediaan masa depan selepas mengambil iktibar daripada pengalaman rakan-rakan dalam industri seni.
Pelawak dan penyampai radio, Rahim Sepahtu berpendapat golongan selebriti sewajarnya mempunyai ‘backup plan’ bagi memastikan mereka masih mempunyai sumber pendapatan sekiranya kerjaya seni tidak lagi menjadi pilihan utama satu hari nanti.
Menurut Rahim atau nama lengkapnya Rahim Mat Ali, golongan selebriti perlu bersedia dengan perancangan lain memandangkan bidang seni merupakan kerjaya yang mempunyai pasang dan surutnya.
“Secara peribadi, saya rasa perlu (backup plan), tapi saya tidak mewakili artis yang lain.
“Artis lain ada kelebihan masing-masing. Kadang-kadang ada yang mungkin daripada segi kelebihan mereka lain. Mereka mungkin bukan berniaga, mungkin daripada servis lain, konsultan dan sebagainya.
“Kalau saya, saya rasa bisnes yang paling mudah untuk mendapat rezeki yang halal dan cepat ialah berniaga makanan. Sebab itu saya memilih untuk berniaga,” katanya kepada Gempak.
Disebabkan itu juga, Rahim kini sedang berjinak-jinak dalam dunia perniagaan sebagai persediaannya untuk masa depan dengan menjalankan perniagaan roti canai kari kambing di Jalan Kebun, Selangor.
“Sebenarnya ini bukanlah perniagaan pertama yang saya cuba. Ada beberapa perniagaan dan ramai juga di luar sana yang pernah dengar saya berniaga.
“Untuk berniaga makanan ini pun bukan pengalaman yang baharu. Saya pernah ikut karnival makanan, pernah buka gerai dan sebagainya.
“Cuma saya rasa saya kena ada satu sumber rezeki untuk backup. Saya tak tahu untuk kriteria macam saya ini, jangka hayat kerjaya itu berapa lama.
“Kadang-kadang kita mengambil iktibar daripada rakan-rakan kita sebelum ini yang tidak ada pendapatan dan sebagainya. Jadi, ia antara alternatif ataupun jalan yang saya cari untuk masa depan juga sebenarnya,” katanya lagi.