Skip to main content

Berita Tempatan

"Ramai Terpaksa Tangguh Kahwin Sebab Kekangan Bajet..." - Mila Jirin Bantu Anggota Polis Tawar Pakej Kahwin Mampu Milik

mila_polis

Tersentuh dengan kisah anggota polis yang terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan akibat kekangan bajet, usahawan dan penyanyi Mila Jirin tampil dengan inisiatif murni untuk membantu mereka melangsungkan hari bahagia tanpa dibebani tekanan kewangan.

Mila atau nama penuhnya Norsyarmila Jirin, 38, berkata ramai pasangan muda dalam kalangan anggota polis berdepan dilema antara keinginan untuk memiliki majlis perkahwinan yang indah dan kemampuan kewangan yang terhad.

Advertisement

Situasi itu mendorongnya memperkenalkan pakej perkahwinan mampu milik menerusi syarikat miliknya, Bizmilla Wedding Centre, dengan kerjasama Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM).

“Ramai yang saya dengar terpaksa tangguh perkahwinan sebab kekangan bajet. Jadi saya mahu Bizmilla jadi sebahagian daripada penyelesaian itu supaya mereka tetap boleh capai majlis impian tanpa stres kewangan,” katanya.

Jelas Mila lagi, usaha tersebut bukan semata-mata langkah komersial, sebaliknya satu misi sosial untuk menghargai jasa dan pengorbanan anggota polis yang banyak berbakti kepada negara.

“Ini bukan strategi perniagaan semata-mata, tetapi tanggungjawab sosial untuk membantu mereka yang berkhidmat menjaga keselamatan rakyat. Kami mahu mereka menikmati majlis bertaraf hotel lima bintang dalam bajet yang mampu milik,” ujarnya.

Pada 2 Oktober lalu, Bizmilla Wedding Centre dan Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) secara rasmi melancarkan kolaborasi strategik mereka di Bizmilla Grand Palace Ballroom, Subang Jaya.

Melalui kerjasama ini, anggota KPDRM dapat menikmati pakej perkahwinan eksklusif Bizmilla dengan kemudahan pembayaran melalui potongan koperasi bulanan serendah RM163.20 sebulan. Pakej itu merangkumi dewan, katering, dekorasi, busana pengantin, pelamin serta fotografi dan videografi.

Menurut Mila, pemilihan KPDRM sebagai rakan strategik dibuat kerana koperasi tersebut mempunyai asas kepercayaan, integriti dan ketelusan, seiring dengan nilai yang dipegang oleh Bizmilla sejak lebih sedekad beroperasi.

“Bizmilla dibina atas kepercayaan pelanggan selama lebih 10 tahun. Jadi apabila bergabung dengan koperasi yang menaungi ribuan anggota polis, kami tahu kolaborasi ini bukan sekadar urusan perniagaan, tetapi tanda penghargaan,” katanya.

Tambahnya, proses pembangunan sistem pembiayaan turut melalui penelitian rapi bagi memastikan setiap transaksi dijalankan secara telus, profesional dan patuh syariah.

“Kami mahu Bizmilla dikenali bukan hanya sebagai penyedia dewan dan katering, tetapi jenama yang memahami realiti rakyat. Bila kita bantu orang capai bahagia, rezeki dan keberkatan akan datang dengan sendiri,” ujar Mila menutup bicara.

Must-Watch Video

Advertisement