Seorang rapper yang pernah popular pada era 2000-an dilaporkan berdepan saman kes curang selepas isterinya memfailkan tuntutan terhadap wanita yang didakwa sebagai kekasih gelapnya.
Memetik laporan AllKpop, isteri kepada rapper tersebut telah memfailkan saman bernilai KRW30 juta (kira-kira RM100,000) terhadap wanita berkenaan yang didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan suaminya sejak April tahun lalu.
Advertisement
Selain kes saman itu, pasangan terbabit juga difahamkan sedang melalui proses perbicaraan perceraian.
Malah, rapper berkenaan kini tidak lagi tinggal sebumbung dengan isterinya sebaliknya memilih untuk menetap bersama kekasih gelapnya.
Lebih mengejutkan, dalam tuntutan yang difailkan, isterinya mendakwa rumah tangga mereka mula retak selepas berlakunya insiden keganasan rumah tangga.
Situasi menjadi lebih parah apabila rapper tersebut didakwa tidur bersama kekasihnya itu walaupun ketika anak-anak datang menziarah.
Apabila anak-anak terbabit mengetahui hubungan sulit itu lalu menceritakan kepada ibu mereka, rapper berkenaan dilaporkan bertindak memukul anak-anaknya sehingga mengalami lebam sebelum meninggalkan mereka tanpa pengawasan di kawasan parkir.
Tindakan itu bukan sahaja menggeruhkan lagi keadaan, malah memberi kesan emosi yang besar terhadap isterinya dan anak-anak.
Sehubungan itu, peguam kepada isteri rapper tersebut menegaskan bahawa wanita simpanan berkenaan perlu bertanggungjawab serta memberi pampasan atas kerosakan yang berlaku dalam rumah tangga kliennya.