Sekilas
- Nora Danish tidak melatah dengan reviu negatif terhadap restoran miliknya, Padang Teduh, dan menganggap kritikan sebagai cabaran dalam industri F&B.
- Beliau menekankan pentingnya kebersihan dan mengakui sukar untuk memenuhi selera semua pelanggan kerana citarasa berbeza-beza.
- Padang Teduh telah menjalani proses pra pembukaan selama seminggu untuk mendapatkan maklum balas dan telah membuat beberapa penambahbaikan berdasarkan komen pelanggan.
Pelakon dan usahawan jelita Nora Danish tidak melatah selepas restoran miliknya, Padang Teduh, menerima beberapa reviu negatif daripada pelanggan di media sosial.
Mengulas perkara itu, Nora, 43, berkata kritikan adalah sebahagian daripada cabaran dalam industri makanan dan minuman, dan beliau sentiasa terbuka untuk memperbaiki apa yang perlu.
Menurut Nora, dunia F&B tidak pernah mudah kerana melibatkan pelbagai selera yang berbeza-beza.
"Bahagian itu (komen negatif) saya kurang tahu, bila adanya bisnes F&B ini akan ada banyak cabaran termasuk untuk puaskan hati semua orang.
"Daripada segi kebersihan itu saya utamakan manakala hal selera makan pun sukar sebab dalam satu keluarga pun ada yang suka pedas ada yang tidak, ia subjektif. Ada suka masin ada yang tidak jadi bagi saya itulah lumrah, normal. Saya tidak terkesan sangat.
"Tapi segala maklum balas saya alu-alukan untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang," katanya kepada Gempak.
Nora ditemui pada majlis pelancaran koleksi pakaian miliknya ND x Maari for Amber di hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada Khamis.
Nora mendedahkan bahawa sejak awal pembukaan, Padang Teduh telah menjalankan proses pra pembukaan selama seminggu bagi mendapatkan maklum balas pelanggan secara langsung.
“Masa mula-mula buka kedai, saya juga lalui proses pra pembukaan selama seminggu untuk saya dapatkan feedback daripada orang ramai. Kalau daripada segi naik taraf, ada banyak yang sudah kami lakukan termasuk kuah masak lemak yang lebih pekat, cili pun kami kurangkan pedas,” tambahnya.
Namun, Nora mengakui adalah mustahil memenuhi kesempurnaan selera semua pelanggan.
“Kalau betul-betul nak puaskan hati semua orang susah juga. Alhamdulillah ada juga komen yang okey,” ujar Nora lagi.