Sekilas
- Reza Arap dari kumpulan Weird Genius kecewa apabila seorang tetamu hotel minta bergambar dengannya ketika mereka terperangkap dalam kebakaran di hotel di Sumba Timur.
- Kebakaran berlaku di bahagian lobi hotel akibat gangguan elektrik, menyebabkan semua tetamu diarahkan berkumpul di kawasan selamat.
- Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan, namun Reza menolak permintaan bergambar kerana situasi kecemasan tersebut.
Reza Arap yang merupakan anggota kumpulan Weird Genius melahirkan rasa kesal apabila didekati seorang tetamu hotel yang mahu bergambar dengannya sewaktu sama-sama terperangkap dalam insiden kebakaran di sebuah hotel, baru-baru ini.
Bintang berusia 38 tahun itu diketahui menjadi salah seorang mangsa kebakaran di sebuah hotel di Sumba Timur, Nusa Tenggara. Bahagian lobi hotel tersebut terbakar selepas mengalami gangguan elektrik.
Insiden tersebut membuatkan pihak hotel meminta semua tetamu meninggalkan bilik masing-masing dan berkumpul di satu kawasan sebagai langkah keselamatan.
Menurut Reza, sewaktu situasi genting dengan tetamu hotel yang lain mahu menyelamatkan diri, dirinya telah didekati oleh seorang wanita. Wanita tersebut meminta izin bergambar dengannya.
“Pada saat semua tetamu kelam kabut, dengan ada yang berlari mengheret beg untuk berkumpul di kawasan selamat, saya didekati seorang tetamu.
“Dia minta ambil gambar dengan saya. Saya tolak. Saya cakap ‘lagi begini’ (situasi darurat). Tapi dia balas ‘sombong’!” tulisnya di platform X seperti dilaporkan Kompas.
Pelakon Kupu Kupu Kertas itu kemudian menutup cerita dengan penuh kesal. “Otak awak sakit!”,tulisnya lagi.
Terdahulu, diberitakan bahagian lobi hotel tersebut terbakar namun kebakaran berjaya dikawal. Tiada tetamu yang cedera atau meninggal dunia.