Sekilas
- Elly Amran, cucu kepada Allahyarham AR Tompel, menegur seorang pengguna media sosial yang menggunakan gambar arwah datuknya sebagai bahan gurauan berunsur body shaming.
- Elly menegaskan dia tidak malu dengan keadaan fizikal arwah, tetapi menganggap gurauan tersebut keterlaluan dan tidak menghormati legasi seniman legenda itu.
- Dia mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam bergurau terutama kerana arwah sudah meninggal dunia lebih 50 tahun lalu dan berharap agar mereka diberi pengampunan.
Cucu kepada pelakon dan seniman veteran, Allahyarham AR Tompel iaitu Elly Amran tampil menegur seorang pengguna media sosial yang didakwa menjadikan fizikal arwah datuknya sebagai bahan gurauan.
Menerusi perkongsian di Threads, Elly berkata dia pada awalnya tidak kisah apabila gambar Allahyarham AR Tompel digunakan, namun mengambil keputusan untuk bersuara selepas menerima banyak mesej daripada netizen mengenai perkara berkenaan.
“Assalamualaikum, mungkin awak peminat atuk saya. Sebenarnya saya tak ambil kisah pun pasal nak pakai gambar atuk saya. Tapi disebabkan ramai yang DM dan tanya saya, ‘this is too much’ lah ya.
“Takkan semua manusia gigi ke depan dan jongang adalah ahli keluarga atuk saya,” katanya.
Dalam pada itu, Elly menegaskan dia tidak berasa malu dengan keadaan fizikal yang dijadikan bahan perbandingan tersebut.
Bagaimanapun, dia menyifatkan gurauan itu sebagai keterlaluan kerana seolah-olah tidak menghormati datuknya.
“‘Stop body shaming’, buli. Saya tak malu, tapi awak boleh tahan juga tak hormat arwah.
“Lagipun atuk saya seniman legend, sama seperti P. Ramlee. Maybe awak tak kenal, tapi yang mengenali beliau hormat beliau,” katanya.
Dalam masa yang sama, Elly menasihati orang ramai untuk berpada-pada dalam bergurau ditambah pula arwah datuknya sudah pergi kira-kira 50 tahun yang lalu.
“Dah 50 tahun atuk saya meninggal. Nak bergurau biarlah berpada-pada.
“Semoga Allah ampunkan awak,” katanya.
Terdahulu, seorang pengguna Threads menerima kecaman selepas didakwa mempersendakan rupa seorang wanita dengan menyamakannya dengan Allahyarham AR Tompel.
Sumber: Threads