Ahli kumpulan Dolla, Sabronzo berkongsi mengenai kehidupannya selepas berkahwin bersama suami, ryan Fieret.
Menurut Sabronzo atau nama lengkapnya Wan Sabrina Wan Rusli, 30, dia mahu membimbing Ryan tanpa sebarang tekanan memandangkan suaminya itu baru sahaja memeluk Islam.
“Apa yang boleh saya katakan ketika ini ialah Alhamdulillah semuanya okay, berjalan dengan lancar.“
“Perkara ini merupakan satu isu peribadi dan saya juga tak nak memberikan tekanan kepada sesiapa.”
“Agama lama dia juga mengajar tentang keamanan dan ketenangan.”
“Apa yang penting ialah cara saya mengajar suami tentang Islam. Selagi mana kehidupan kami dipenuhi dengan kebaikan dan cinta, insya-Allah semuanya akan okay,” katanya ketika ditemui Gempak.
Advertisement
Sabronzo berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sesi tayangan perdana muzik video lagu terbaharu Dolla berjudul ‘Question’ yang diadakan di The Campus, Ampang pada Khamis.
Berkongsi mengenai kehidupannya selepas bergelar isteri, Sabronzo berpendapat tiada banyak perubahan yang berlaku malah, dia menjadi lebih bersemangat untuk meneruskan kerjayanya bersama Dolla.
“Alhamdulillah, kehidupan selepas berkahwin saya baik-baik sahaja. Saya gembira kerana telah menjumpai lelaki yang terbaik.”
“Nak kata ada perbezaan banyak sangat selepas berkahwin, tidak juga kerana kami masing-masing memberikan fokus terhadap kerjaya kami.”
“Cuma bezanya sekarang bila saya balik, saya ada teman untuk berbual. Alhamdulillah, saya bahagia.”
Dalam pada itu, Sabronzo sama sekali tidak merasakan perkahwinannya bersama suami bakal menjejaskan kerjaya seninya bersama Dolla.
“Saya tak rasa perkahwinan ini menjejaskan kerjaya malah ia membuatkan saya berasa lebih bersemangat.”
“Saya sentiasa fokus dan akan sentiasa memberikan komitmen untuk mencapai segala sasaran bersama Dolla.”
“Suami saya juga memberi motivasi untuk menjadi lebih baik memandangkan kami berada dalam bidang yang sama.”
Sekadar info, Sabronzo menyorot perhatian apabila memuat naik foto perkahwinannya bersama Ryan pada 29 September lalu.
Difahamkan, Sabronzo dan Ryan telah bernikah dua minggu sebelum mengadakan majlis resepsi yang berlangsung di Bali pada 25 September lalu.
Terdahulu, peminat mula menghidu hubungan Sabronzo dan Ryan sekitar Mei lalu selepas dua pemuzik itu dilihat saling berbalas komen di media sosial.