Sekilas
- Yamani Abdillah berkongsi pengalaman pahit ketika zaman UPSR apabila pernah dilempang guru di atas pentas dan depan orang ramai.
- Walaupun kejadian itu masih meninggalkan rasa sakit dan persoalan dalam dirinya, Yamani tidak menyimpan dendam terhadap guru tersebut.
- Dia tetap menghargai jasa guru itu dan memohon maaf atas sikap nakalnya yang menyebabkan kejadian itu berlaku.
Perkongsian penyanyi Yamani Abdillah sempena Hari Guru di Threads mencuri perhatian ramai apabila berkongsi pengalaman pahit yang masih diingatinya sehingga hari ini.
Menurut Yamani, dia mengakui pernah melakukan kesalahan ketika zaman UPSR, namun sukar melupakan tindakan seorang guru yang melempangnya di hadapan orang ramai dan di atas pentas.
“Osama dan lempangan tak dapat dipisahkan. Tapi ada satu lempang yang sampai sekarang aku tak boleh terima.
“Aku tahu itu kesalahan aku, tapi tak perlu nak lempang aku depan orang, atas pentas. Zaman UPSR benda ni,” tulisnya.

Tambah penyanyi lagu Aku Masih Ada itu lagi, walaupun kejadian tersebut sudah lama berlalu, rasa sakit dan persoalan mengenai tindakan tersebut masih bermain dalam fikirannya hingga kini.
“Walaupun dah lama, sakit masih rasa dan masih tertanya. Kenapa perlu atas pentas dan di depan orang ramai?
“Tu je persoalan aku. Bapak aku pun sepak terajang aku dalam rumah. Tu je. Tak marah. Just share pengalaman pahit,” tulisnya lagi.
Bagaimanapun, Yaman kemudian tampil menjelaskan bahawa dia tidak menyimpan dendam terhadap guru terbabit dan tetap menghargai jasa pendidik tersebut.
“Walaupun pahit, aku tetap berterima kasih pada cikgu itu kerana pernah mendidik aku.
“Dan aku mohon maaf kalau dulu aku nakal sampai terpaksa lempang atas stage, depan orang. Aku tak salahkan pun, aku minta maaf dan aku dah maafkan dia. Just share pengalaman,” katanya.
