Sekilas
- Artis tempatan Justin Gignac berjaya menjual 50 kiub akrilik berisi sampah yang dikutip sekitar lokasi majlis perkahwinan Taylor Swift di Madison Square Garden dalam masa kurang 24 jam.
- Setiap kiub dijual pada harga AS$25 dan mengandungi pelbagai barangan terbuang yang mencerminkan suasana meriah majlis tersebut, walaupun bukan dari dalam acara itu sendiri.
- Projek ini menjadi tular selepas video di TikTok mendapat lebih 800,000 tontonan, menarik minat peminat Taylor Swift dari seluruh dunia untuk membeli koleksi unik tersebut.
Semua tentang Taylor Swift mungkin boleh buat duit! Itulah yang terjadi apabila seorang artis tempatan berjaya ‘buat duit’ dengan hanya menjual sampah yang berada di sekitar lokasi majlis perkahwinan pasangan selebriti itu di Madison Square Garden, New York.
Ya, bunyinya macam tidak masuk akal tapi artis yang dikenali sebagai Justin Gignac berjaya menjual sampah yang dalam tempoh kurang 24 jam.
Gignac diketahui mengumpulkan sampah yang ditemui di jalan sekitar lokasi majlis sebelum menjadikannya koleksi cenderamata eksklusif.
Sebanyak 50 kiub akrilik lutsinar yang diisi dengan pelbagai barangan terbuang habis dijual dalam tempoh kurang 24 jam.
Setiap satu dijual pada harga AS$25 (kira-kira RM106) dan mengandungi pelbagai barangan seperti penutup botol, sudu garpu plastik, puntung rokok, penyedut minuman, pita keselamatan polis, pembalut gula-gula, sebuah AirPod yang hilang serta kit ujian ovulasi yang telah digunakan.
Cenderahati itu kemudian dicop dengan tulisan "JUST&T MARRIED! 7/3/26", merujuk kepada paparan khas yang dipasang pada papan iklan ikonik Madison Square Garden sejurus pasangan itu disahkan sebagai suami isteri.
Menurut Gignac, semua barangan tersebut bukan diambil dari dalam majlis, sebaliknya dikutip di kawasan awam sekitar lokasi selepas salah satu majlis perkahwinan selebriti paling ketat kawalannya tahun ini.
"Saya suka mengabadikan detik atau momen yang berlaku di New York dan saya rasa ini merupakan salah satu momen besar. Jadi saya mahu menghasilkan kapsul masa kecil yang merakam suasana ketika itu," katanya kepada AFP.
Gignac yang terkenal menerusi projek New York City Garbage, iaitu projek mengabadikan sampah jalanan New York sebagai karya seni, berkata dia tidak pernah berniat membuat orang percaya bahawa barangan tersebut berasal dari dalam majlis.
Sebaliknya, koleksi itu dihasilkan bagi menggambarkan kemeriahan yang menyelubungi acara yang dianggap ramai sebagai perkahwinan selebriti paling dinanti tahun ini.
Gignac juga memberitahu setiap kiub dimeterai dalam bekas akrilik lutsinar bagi memastikan kandungannya kekal terpelihara, malah beberapa objek turut diikat sebagai simbolik kepada tema perkahwinan.
Dalam temu bual bersama BBC News pula, Gignac mengakui dia yakin peminat Taylor Swift atau Swifties akan menghargai idea unik tersebut.
"Saya rasa Swifties tidak akan sanggup berpisah dengan sampah daripada majlis perkahwinan itu. Jadi sekarang mereka boleh membawanya ke mana sahaja," katanya berseloroh.
Idea berkenaan menjadi tular selepas Gignac memuat naik video ringkas di TikTok memperkenalkan projek tersebut.
Menurutnya, video itu menerima lebih 800,000 tontonan sekali gus menarik perhatian peminat Taylor Swift dari seluruh dunia untuk mengunjungi laman webnya.
Kesemua 50 koleksi tersebut habis dijual dalam tempoh kurang sehari, sekali gus membolehkan beliau memperoleh jualan sebanyak AS$1,250 (sekitar RM5,300).
Menariknya, projek tersebut turut menyelitkan "Easter egg" khas buat peminat tegar Swift.
Untuk rekod, Taylor Swift dan Travis Kelce mengambil langkah keselamatan yang sangat ketat bagi memastikan majlis mereka kekal peribadi.
Semua tetamu dilaporkan perlu menyerahkan telefon bimbit sebelum memasuki majlis, menandatangani perjanjian kerahsiaan (NDA), selain kawasan sekitar Madison Square Garden dikawal ketat oleh pasukan keselamatan dan polis dengan penghadang dipasang bagi menghalang peminat serta juru gambar menghampiri lokasi.