Penyampai radio dan pengacara, DJ Sonic, 45, menitipkan doa serta kata-kata semangat buat pelakon, Nur Fazura, agar terus kuat dan tabah menghadapi cabaran hidup.
Menerusi perkongsian di laman Threads, DJ Sonic menyifatkan Fazura sebagai wanita hebat yang melalui fasa penuh dugaan sejak setahun lalu, namun masih mampu berdiri dengan penuh keyakinan.
Advertisement
“Kita tidak akan jadi sekuat dia. Setahun ini dia lalui dugaan hidup yang maha hebat, tapi dia tetap berdiri di hadapan. Sebab apa? Sebab dia yakin Allah sayang dia, dan dia juga yakin kita ada di sekeliling dia.
“Kepada Fazura, masa untuk awak terbang lebih tinggi cari kedamaian hati. Carilah bahagia awak, dan kami sentiasa doakan awak jadi wanita dan ibu yang sangat hebat!
“One day, Fatima pasti akan bangga punyai ibu sekuat awak Faz. Jatuh itu biasa, bangkit itu luar biasa,” tulisnya.

Menurut DJ Sonic lagi, kekuatan Fazura wajar dijadikan inspirasi kerana walaupun diuji dengan kegagalan rumah tangga, dia tidak menunjukkan kelemahan di hadapan khalayak.
Sebaliknya, bintang filem Pisau Cukur itu sentiasa tampil yakin, tenang dan positif dalam setiap langkahnya, sekali gus membuktikan bahawa keyakinan kepada Allah menjadi sumber utama kekuatan seorang wanita.
“Bukan mudah untuk seorang wanita melalui semua ini. Tapi Fazura tetap kekal tegas, matang, malah masih mampu memberikan senyuman untuk anaknya. Itu sesuatu yang sangat luar biasa,” tambah DJ Sonic.
Sebelum ini, bekas suaminya, Fattah Amin, mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Amira Othman pada 14 September depan.
Tarikh istimewa itu dipilih bersempena ulang tahun kelahiran Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin yang bakal genap berusia 35 tahun.
Untuk rekod, Fattah membuat kejutan dengan melamar Amira pada sebuah acara apabila muncul dari belakang pentas ketika penyanyi itu sedang berduet bersama adiknya, Irfan Haris, menerusi lagu terbaharu mereka berjudul Rasa & Takdir.
Sebelum ini, gosip mengenai Fattah bakal menamatkan zaman duda hangat diperkatakan di media sosial selepas seorang pengguna Threads mendakwa mendapat maklumat tersebut daripada sumber dipercayai.
Fattah pernah berkahwin dengan Fazura pada 27 November 2017 sebelum bercerai pada 7 Oktober tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia lima tahun.
Sumber: Threads