Sekilas
- Hafiz Hamidun berkongsi pengalaman mempertahankan hak penggunaan nama komersialnya sehingga membawa kes ke mahkamah dan menang pada 2021.
- Beliau menasihatkan individu terkenal untuk mendaftarkan nama mereka sebagai tanda dagangan dengan MyIPO bagi melindungi identiti dan reputasi.
- Kes ini bukan sahaja melibatkan artis, tetapi juga memberi pengajaran kepada personaliti lain supaya menjaga hak nama dan imej masing-masing.
Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun berkongsi pengalaman ketika memperjuangkan hak terhadap penggunaan nama komersialnya sehingga membawa kes berkenaan ke mahkamah.
Menurut Hafiz, individu yang mempunyai nama dan reputasi dalam industri perlu mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi identiti serta nama mereka, termasuk mendaftarkannya sebagai tanda dagangan atau trademark dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
“Kita sebagai individu yang dikenali, kalau rasa perlu melindungi nama dan imej, kita buatlah apa yang patut. Kalau perlu daftarkan dengan MyIPO sebagai 'trademark', maka buatlah.
'Saya sendiri buat dan belajar benda itu. Kalau kita tak buat nanti orang guna dan kita marah, tapi kita sendiri tak lindungi diri,” katanya kepada Gempak.
Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada sidang media album terbaharunya, Salawat The Beloved, yang berlangsung di Royal Chulan Kuala Lumpur, pada Khamis.
Mengimbas kembali pengalamannya, Hafiz menjelaskan dia pernah berdepan situasi apabila namanya digunakan pada produk tekstil tanpa kebenaran.
Menurut Hafiz, ketika itu pihak berkenaan mempertikaikan penggunaan nama ‘Hafiz Hamidun’ dengan alasan ia digunakan pada produk kain dan bukan merujuk kepada dirinya sebagai seorang penyanyi.
“Sebelum ni memang tidak ada akta tentang itu. Dalam mahkamah saya masih ingat, mereka kata, "Kita pakai nama Hafiz Hamidun ini pada kain, kita tak pakai Hafiz Hamidun yang penyanyi.
“Saya daftar nama saya sebagai hak cipta, saya dah trademark nama saya. Nama saya di kelas 40 iaitu bidang kreatif. Tekstil pula di kelas 25, jadi takkan saya nak daftar nama Hafiz Hamidun dekat semua bidang?
“Kalau ikutkan, orang boleh buat apa-apa nama tapi selepas dari itu, mahkamah memutuskan semua tak boleh dan tak dibenarkan. Pada saya itulah hikmahnya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Hafiz mengakui perjuangan mempertahankan hak terhadap namanya bukan sesuatu yang mudah apabila dia terpaksa mengeluarkan kos guaman yang tinggi.
Menurut Hafiz, isu berkenaan bukan sekadar melibatkan golongan artis, sebaliknya boleh menjadi pengajaran kepada mana-mana individu yang mempunyai nama serta reputasi dalam bidang masing-masing.
“Saya perjuangkan dan saya habis duit hampir setengah juga untuk bayar peguam. Ketika itu saya tidak uar-uarkan tetapi keputusan mahkamah memihak kepada saya.
'Tidak ada orang lain yang boleh menggunakan nama baik orang lain.Bukan hanya pada artis semata-mata, tetapi personaliti, atlet, ahli politik dan orang-orang yang terkenal dan ada nama baik.
'Tapi saya tak mahu memanjangkan isu ini kerana semuanya sudah selesai dan ia mungkin boleh dijadikan pengajaran,” ujarnya.
Terdahulu, kes saman Hafiz tersebut kembali menjadi rujukan selepas maestro muzik Datuk M.Nasir bersama syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd bertindak memfailkan saman terhadap sebuah syarikat berhubung dakwaan menggunakan namanya tanpa kebenaran bagi tujuan promosi.
Untuk info, pada tahun 2017, Hafiz memfailkan saman terhadap sebuah syarikat tekstil kerana menggunakan nama komersialnya tanpa kebenaran. Hafiz kemudian memenangi kes saman itu pada 2018.
Namun, syarikat tersebut mengemukakan rayuan di mahkamah pada tahun 2020. Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan pada tahun 2021, mengesahkan kemenangan memihak kepada Hafiz.