Skip to main content

Selebriti

“Sejauh Mana Anda Pasti Itu Anak Saya?” - Pablo Amirul

Sejauh Mana Anda Pasti Itu Anak Saya- Pablo Amirul

Pelakon, Pablo Amirul tampil memberikan respon mengenai dakwaan beberapa pihak mengatakan dirinya mempunyai seorang anak perempuan. 

Malah netizen juga mendakwa anak perempuan itu pernah menjadi mangsa gangguan seksual yang dilakukan oleh seorang pempengaruh, beberapa bulan lalu. 

Advertisement

Tidak cepat melatah, Pablo atau nama sebenarnya Amirul Hisyam Mohd Sakri berkata dia memilih untuk tidak mengiyakan atau menafikan dakwaan tersebut.

Bagaimanapun Pablo berkata dia mengenali remaja itu serta ibunya.

“Sejauh mana anda pasti itu anak saya? Sejauh mana kepastian itu? Mengiyakan tidak, menidakkan pun tidak. 

"Saya kenal siapa ibu dan anak itu. Kalau saya sudah berkahwin, tidak susah pun untuk anda mencari. Hanya petik nama, sudah boleh jumpa.

"Tetapi ada sensitiviti yang perlu kita jaga di sini. Saya lebih selesa biarkan perkara ini dalam lingkungan saya sahaja buat masa ini. Kerana kes masih berjalan dan tiada gunanya saya memberi kenyataan.

“Ia hanya akan mengganggu kelancaran prosesnya nanti,” katanya.

Pablo berkata demikian ketika ditemui di acara Polis Evo Wonda-Ful 10 Years sempena ulang tahun ke-10 francais filem itu bertempat di TGV Suria KLCC pada Rabu.

Mengakui ada menghubungi keluarga mangsa, Pablo bagaimanapun tidak terganggu dengan pelbagai dakwaan membabitkan dirinya yang dilabel sebagai bapa mangsa. 

“Kalau saya terganggu, rasanya sejak hari pertama isu ini keluar, anda sudah lihat kenyataan saya. Tetapi pendekatan saya adalah berdiam diri, fokus kepada kerja saya.

“Bohong kalau saya kata saya tidak rasa perkara ini serius. Namun saya tahu bagaimana prosesnya, sebab itu saya kekal tenang.

“Orang itu sedang dihakimi dan seorang lagi belajar daripada pengalaman. Kalau sepanjang kes itu berlangsung saya tidak membuat sebarang kenyataan, maknanya biarlah keluarganya yang selesaikan dengan pihak berkuasa.

“Untuk memandai-mandai pun tiada gunanya. Kita ini pelakon. Jangan terlalu ikutkan emosi. Saya sudah cukup faham bagaimana untuk mengawal situasi dan tekanan,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Pablo juga turut memberikan nasihat kepada pempengaruh dan selebriti agar tidak terbuai dengan godaan saat nama memanjat populariti. 

“Apa yang terjadi, saya boleh ulaskan, ia boleh berlaku kepada sesiapa pun. Nasihat saya, dunia hiburan banyak godaan. Boleh menyesatkan. Jadi berhati-hatilah dan jangan terlalu ikut nafsu.

"Kalau benar bernafsu sangat, bayarlah untuk perkhidmatan itu, anda faham maksud saya. Peringatan kepada influencer atau selebriti, semakin naik populariti, semakin mencabar.

“Seperti yang saya sebutkan, saya mahu menjaga sesuatu supaya tidak memberi impak negatif kepada mental mangsa. Saya berhati-hati dengan isu kesihatan mental, terutama sekali membabitkan mereka yang di bawah umur,” katanya. 

Terdahulu, Malaysia digemparkan dengan kes gangguan seksual dilakukan seorang pempengaruh, yang menghantar kiriman mesej dan gambar tidak senonoh kepada remaja bawah umur. 

Must-Watch Video

Advertisement