Sekilas
- Smith & Wollensky, restoran steak terkenal dengan gaya klasik, kini membuka cawangan pertama di Menara 3, KLCC, Malaysia.
- Restoran ini bekerjasama dengan Universal Music dan universiti tempatan untuk memupuk bakat dalam bidang hospitaliti dan kulinari.
- Smith & Wollensky juga melancarkan inisiatif kesedaran kesihatan mental dengan Plus Vibes, termasuk sesi ceramah dan forum sepanjang 2026.
Cawangan pertama restoran steak dunia yang terkenal dengan gaya dalaman klasik, Smith & Wollensky secara rasminya dibuka di Malaysia.
Restoran yang bertempat di Menara 3, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) ini menandakan satu detik penting perjalanan global jenama tersebut disamping menyediakan sajian steakhouse berkualiti kepada pelanggan.
Bukan sekadar sebuah restoran steakhouse, Smith & Wollensky Kuala Lumpur menjalin kerjasama bersama Universal Music serta beberapa institusi pengajian tinggi tempatan seperti Taylor’s Universiti dan Sunway Universitiy bagi merealisasikan visi dan misi dalam memupuk bakat dalam bidang hospitaliti, kulinari dan perkhidmatan.
Berkapasiti lebih 300 tetamu, Smith & Wollensky Kuala Lumpur bukan sahaja menyediakan ruang makan malah turut menyediakan ruang elegan yang sangat sesuai bagi majlis makan malam serta sambutan istimewa.
Selain itu, Smith & Wollensky turut melancarkan Komitmen Kesedaran Kesihatan Mental, yang diperkenalkan dengan kerjasama bersama Plus Vibes bagi meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan mental dan bakal menganjurkan sesi ceramah dan forum kesihatan mental di restoran tersebut sepanjang tahun 2026, selain sumbangan kepada badan bukan kerajaan berkaitan kesihatan mental.
Majlis perasmian Smith & Wollensky telah dirasmikan tetamu kehormat seperti Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Duta Besar Amerika Syarikat di Malaysia, Tuan Yang Terutama Encik Edgard D. Kagan, juara NBA dua kali, Sasha Vujacic dan ramai lagi.
Majlis yang diadakan pada 18 Januari lalu turut dimeriahkan dengan persembahan tarian singa tradisional serta persembahan jazz daripada penyanyi meningkat naik, Dasha Logan.
Sekadar info, restoran Smith & Wollensky mula popular selepas muncul dalam filem hebat Hollywood, The Devil Wears Prada lakonan hebat Meryl Streep dan Anne Hathaway.
Dalam filem tersebut, Smith & Wollensky menjadi lokasi salah satu babak penting melibatkan watak Miranda Priestly (Meryl Streep) dan Andrea Sachs (Anne Hathaway) yang menunjukkan perbualan tegang.
Babak itu dalam masa yang sama telah mengukuhkan imej restoran Smith & Wollensky sebagai satu ruang makan yang penuh eksklusif bagi golongan berpengaruh.