Skip to main content

Hiburan

Seniman Sedia Bekerjasama Dengan Kementerian Hal Ehwal Agama Isu Garis Panduan Pakaian Artis Malaysia

Zed Zaidi

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi memaklumkan sedia untuk bekerjasama dengan  Kementerian Hal Ehwal Agama mengenai garis panduan pakaian artis di Malaysia.

Bagaimanapun, menurut Zed setakat ini masih belum ada makluman rasmi mengenai perkara tersebut daripada pihak bertanggungjawab.

“Memang tak ada… kalau ada, kami akan dapat e-mel jemputan daripada pihak yang mengubah undang-undang atau garis panduan. Setakat ini tak ada apa-apa, kami memang bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak tapi kena panggil dan maklumkan dahulu,” katanya kepada Gempak. 

Zed menambah, setakat pengetahuannya hanya garis panduan untuk filem dan drama yang pernah dibentangkan secara rasmi kepada persatuan sebelum ini termasuk perkara yang dibenarkan atau tidak dari sudut syariah.

Namun untuk pakaian artis, tiada sebarang rujukan diberikan.

Pelakon itu juga menegaskan bahawa tanpa maklumat rasmi, Seniman tidak boleh mengambil tindakan atau memberi nasihat khusus kepada artis.

“Kalau kita sendiri pun tak dapat maklumat, macam mana kita nak jelaskan pada ahli? Kita nak rujuk apa? Kalau ada garis panduan yang jelas, barulah kita boleh hebahkan.

“Sekarang ni tak ada, kalau mereka ada garis panduan, mereka kena hubungi persatuan dan barulah kita boleh bantu sebarkan kepada artis-artis,” tambahnya.

Terdahulu, penampilan kumpulan Dolla menerusi video muzik terbaharu berjudul Question mendapat perhatian ramai dengan ada sebahagian masyarakat menyifatkan ia keterlaluan terutama gaya fesyen seksi dan mencolok mata. 

Susulan itu, pendakwah selebriti, Asma' Harun turut memberikan teguran terbuka dan berpandangan penampilan Dolla dalam video muzik terbabit tidak bermoral dan memalukan wanita yang beragama Islam. 

Universal Music Malaysia mengambil langkah menurunkan video muzik terbaharu kumpulan Dolla daripada semua platform digital susulan kritikan orang ramai berhubung penampilan ahli kumpulan itu yang didakwa terlalu mencolok mata. 

Langkah itu turut dibuat selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, baru-baru ini menyuarakan kebimbangan mengenai isu pemakaian artis beragama Islam yang tidak selari dengan garis panduan sedia ada.

Must-Watch Video

Advertisement