Sekilas
- Zaki Yamani menafikan dakwaan suara dan gaya nyanyiannya sama seperti bapanya, Datuk Jamal Abdillah, dan menganggap persamaan itu hanya kebetulan.
- Dalam projek lagu raya mereka, Zaki dan Merrah sengaja memasukkan elemen serupa sebagai kreativiti, terutama dalam muzik video 'Raya Tak Nak Single'.
- Video muzik tersebut menggabungkan elemen sinematik klasik dan moden, serta menampilkan lakonan yang diinspirasikan oleh watak filem bapa mereka sebagai penghormatan kepada legasi seni keluarga.
Penyanyi, Zaki Yamani menyifatkan persamaan yang didakwa segelintir pihak mengenai suaranya sama seperti legenda muzik tanah air, Datuk Jamal Abdillah yang juga merupakan bapanya hanyalah sebagai kebetulan semata-mata.
Malah kata Zaki, dia juga tidak pernah mengaku bahawa mereka sama selain menafikan dakwaan cuba meniru gaya nyanyian Jamal dalam karya yang dihasilkan.
“Saya tak pernah mengaku suara saya sama seperti ayah, muka saya kalau tengok pun lain dari Datuk Jamal. Adalah sedikit sama tapi tak banyak.
“Sebenarnya apa yang saya dan Merrah (anak Datuk Awie) lakukan bukanlah mengajuk bapa kami. Kami hanya menyanyi secara sendiri sahaja,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Zaki juga tidak menolak terdapat beberapa bahagian tertentu dalam projek mereka yang sengaja dibuat seiras sebagai elemen kreatif, khususnya dalam muzik video lagu raya mereka iaitu ‘Raya Tak Nak Single’.
“Kalau nak kata ajuk, sebagai contoh dalam muzik video lagu raya kami, ada satu bahagian yang kami sebut ‘malam ini’ dan juga ‘poyo’, itu memang kami cuba nak jadikan sama seratus peratus.
“Kalau orang kata suara saya sama, saya ucapkan terima kasih sahaja cuma saya tak mengaku suara sama.
“Jadi kalau ada yang mengecam saya, suka hatilah, terpulang sebab mereka yang kata sama,” jelasnya.
Untuk info, video muzik ‘Raya Tak Nak Single’ menjadi elemen istimewa dalam projek berkenaan apabila kedua-dua artis melakonkan watak yang diinspirasikan daripada karakter filem lakonan bapa masing-masing.
Lakonan itu merupakan satu penghormatan simbolik terhadap legasi seni yang membesarkan mereka.
Diarahkan oleh Esham, video muzik ini menggabungkan elemen sinematik klasik dan pendekatan visual moden yang sesuai dengan citarasa audiens digital masa kini.
Turut membuat penampilan istimewa ialah Nazu, artis Sony Music Malaysia yang terkenal dengan persona uniknya, memegang watak sebagai gadis rebutan dalam naratif video tersebut.