Sekilas
- Euni Wong, finalis Miss Universe Malaysia 2026, berkongsi pengalaman pahit dibuli dan dipulaukan semasa sekolah menengah yang membuatkan dia sukar membina persahabatan dengan pelajar perempuan.
- Walaupun pengalaman itu masih meninggalkan kesan, Euni mahu golongan muda faham bahawa kejayaan datang bersama kerja keras, penolakan, dan kegagalan yang tidak dilihat orang ramai.
- Penyertaan Euni dalam Miss Universe Malaysia 2026 membuka peluang untuk dia berkembang diri, meneroka sisi feminin, dan membina hubungan dengan wanita lain yang sebelum ini sukar dicapai.
Di sebalik kehidupan penuh warna dan kejayaan yang dikecapinya hari ini, finalis Miss Universe Malaysia 2026, Euni Wong mendedahkan pernah melalui pengalaman pahit apabila dibuli dan dipulaukan ketika zaman persekolahan.
Menurut Euni, pengalaman tersebut berlaku ketika di sekolah menengah sehingga membuatkan dirinya sukar membina persahabatan dengan pelajar perempuan.
Malah, situasi menjadi begitu teruk sehingga dia pernah menghabiskan waktu rehat dengan makan bersendirian di dalam tandas selama setahun.
“Sejujurnya, sepanjang hidup saya memang tidak pernah benar-benar mempunyai ramai kawan perempuan, termasuk ketika di sekolah.
“Zaman persekolahan agak sukar. Pelajar perempuan tidak begitu mahu berkawan dengan saya, jadi saya lebih banyak bersendirian.
“Ketika di sekolah menengah, keadaan sangat teruk kerana saya dibuli dengan teruk. Saya masih ingat, selama setahun saya makan tengah hari dan menghabiskan waktu rehat di dalam tandas.
“Seteruk itu keadaannya,” katanya.
Mengakui pengalaman tersebut masih meninggalkan kesan sehingga hari ini, Euni tidak dapat menahan emosi ketika kembali mengenang apa yang pernah dilaluinya.
Namun, dia kini memilih untuk berkongsi sisi rapuh tersebut kerana mahu orang ramai khususnya golongan muda memahami bahawa kejayaan seseorang tidak datang tanpa kesukaran.
“Sehingga sekarang ia masih menyakitkan hati saya.
“Banyak kejayaan juga datang bersama banyak perkara yang perlu dikorbankan. Ada banyak kesakitan yang datang daripada zaman kanak-kanak, cara kita dibesarkan dan orang di sekeliling kita,” katanya.
Euni berkata, orang ramai mungkin hanya melihat kehidupan seseorang selepas mereka berjaya tanpa mengetahui penolakan, kegagalan dan kerja keras yang berlaku di belakang tabir.
“Apabila seseorang sudah berjaya, orang hanya melihat sisi glamor. Mereka melihat apa yang sudah kita capai dan mungkin beranggapan, ‘Oh, dia pasti bertuah’ atau dia berjaya mungkin kerana menggunakan kecantikannya.
“Tidak. Ada banyak kerja keras, banyak penolakan dan banyak kegagalan. Saya rasa golongan wanita muda perlu tahu perkara itu,” katanya.
Pengalaman sering ditolak oleh kelompok wanita juga dipercayai menjadi antara faktor yang menyebabkan Euni lebih selesa membina kehidupan dan kerjaya dalam bidang yang didominasi lelaki.
Malah, dia mengakui pengalaman masa lalu itu mungkin secara tidak langsung menjadi antara pendorong kepada kejayaannya hari ini.
“Saya rasa begitu kerana sangat sukar untuk saya. Saya merasakan banyak kesakitan dan penolakan daripada wanita.
“Saya fikir mungkin itu juga antara sebab terbesar saya berjaya. Ketika kecil, saya sentiasa mempunyai kemarahan dalam diri dan tertanya-tanya, ‘Kenapa kamu menolak saya? Kenapa kamu memulaukan saya? Saya tidak melakukan apa-apa yang salah kepada kamu.’
“Saya rasa sebahagian besar daripada perjalanan hidup saya adalah kerana saya sentiasa cuba mencari tempat di mana saya rasa diterima,” katanya.
Kini, Euni mencabar dirinya keluar daripada zon selesa apabila menyertai Miss Universe Malaysia 2026 biarpun tidak pernah mempunyai latar belakang dalam pertandingan ratu cantik.
Penyertaan dalam Miss Universe Malaysia membuka ruang buat Euni meneroka sisi dirinya yang lebih feminin, selain membina hubungan dengan peserta wanita lain yang sebelum ini bukan sesuatu yang biasa buat dirinya.
Bagi Euni, perjalanan tersebut bukan semata-mata mengenai merebut mahkota, sebaliknya menjadi proses perkembangan diri dan peluang untuk menggunakan pengalaman hidupnya bagi memberi impak kepada orang lain.