Sekilas
- Sharifah Shahirah berasa sebak dan bangga apabila anak perempuannya, Odda, melancarkan single sulung berjudul Gelanggang Rasa di bawah naungan Siti Nurhaliza Legacy.
- Sharifah mengenang kembali hubungan rapat Odda dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza sejak kecil, termasuk sokongan dan kehadiran Siti dalam pelbagai acara penting Odda.
- Lagu Gelanggang Rasa diperkenalkan oleh Haiza dari Kool FM dan dipilih sebagai single pertama, dengan Odda masih dalam proses memperbaiki vokal dan mencari genre sendiri.
Penyampai radio dan pengacara, Sharifah Shahirah mengakui tidak dapat menahan sebak dalam masa yang sama berasa bangga selepas anak perempuannya, Auddra Zulkifli atau lebih dikenali sebagai Odda, melancarkan single sulung berjudul Gelanggang Rasa pada Selasa.
Menurut Sharifah yang lebih mesra disapa Kaka Shiera, momen itu lebih menyentuh hatinya apabila melihat perjalanan seni Odda yang kini bernaung di bawah Siti Nurhaliza Legacy (SNL).
“Sudah lama saya tak dengar susunan doa yang cantik. Selalu kalau minta dengan Allah, ayat kita terang saja tapi bila dengar ustaz tadi berdoa (waktu majlis pelancaran), elok pula ayat dia. Dia sebut pula nama Odda dalam doanya.
“Sebenarnya saya bangga dan tak sangka. Saya pernah nampak satu gambar Lionel Messi memandikan Lamine Yamal. Mula-mula saya ingat gambar AI (kecerdasan buatan), rupanya gambar betul.
“Jadi bila Siti pernah pegang Odda dulu, Odda jadi luar biasa walaupun dia biasa sahaja. Dia jadi luar biasa bila Siti pegang. Jadi saya syorkan, carilah tok imam atau idola awak, suruh dia pegang dan belai anak kita,” katanya kepada Gempak ketika majlis pelancaran single pertama Odda yang berjudul Gelanggan Rasa.
Malah, Shiera berkata bahasa detik pelancaran itu turut mengimbau kenangan lama apabila Datuk Seri Siti Nurhaliza sudah mengenali dan bersama Odda sejak kecil lagi.
“Jadi saya cuma teringat gambar Messi itu. Sejak kecil Siti menimang dan dukung Odda. Hari jadi dia pun Siti datang, cukur jambul dan macam-macam lagi, semuanya Siti datang.
“Saya terharu bila Siti ambil dia, tapi semua itu atas usaha Odda juga. Dia memang suka benda-benda ini dari kecil. Dia tengok dan perhati emak dia.
“Jadi saya fikir, kalau dia suka, teruskanlah. Cuma janganlah nanti orang kata kenapa tak macam Siti. Saya tak boleh nak tutup mulut orang. Faham sajalah DNA keluarga kami macam mana,” ujarnya.
Bercerita mengenai pemilihan lagu, Sharifah memaklumkan bahawa lagu tersebut diperkenalkan oleh penyampai radio dan penyanyi, Haiza.
“Sebenarnya lagu ini Haiza Kool FM mesej saya. Dia kata ada lagu untuk Odda ini. Sebenarnya bukan Haiza saja tapi ramai yang bagi antaranya Amsyar, dan ramai lagi.
“Tapi lagu ini dipilih dan kita keluar lagu ini dulu. Itu pun Siti setuju, saya ikut saja. Odda pun mengikut saja. Mungkin Odda sebenarnya ada genre dia sendiri tapi tunggu dia berlatih vokal lagi. Banyak benda nak perbaiki.
“Perjalanan dia sangat jauh. Jadi, kita ‘try and error’ juga. Mungkin bukan yang ini tapi kalau okey, Alhamdulillah. Sebab panjang lagi perjalanan dia. Baru babak pertama,” katanya.