Sekilas
- Shila Amzah berkongsi pengalaman pertama menjadi ‘mak pengantin’ ketika menguruskan majlis pernikahan ibunya, Fauziah Sarman, yang berlangsung dengan lancar.
- Shila menguruskan pelbagai persiapan penting termasuk pakaian pengantin, penata rias, dan dokumentasi kahwin bagi memastikan majlis berjalan sempurna.
- Fauziah selamat bernikah buat kali kedua dengan Zainal dalam majlis ringkas di Bandar Baru Bangi, selepas bercerai dengan Datuk ND Lala selepas 34 tahun bersama.
Penyanyi, Shila Amzah, berkongsi pengalaman apabila diberi tanggungjawab membantu menguruskan majlis pernikahan ibunya, Fauziah Sarman, yang berlangsung pada Sabtu.
Menurut Shila, 34, ini merupakan kali pertama dia merasai pengalaman menjadi ‘mak pengantin’, termasuk menerima salam kaut daripada tetamu.
“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Kali pertama saya jadi mak pengantin, bila salam kaut orang bagi dekat saya.
“Tapi sudah tentu, masuk dalam beg mak kita. Lucu pula rasa,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Jelas Shila, dia turut menguruskan hampir semua perkara penting menjelang majlis tersebut.
“Dari baju pengantin, penata rias mak dan babah, sampai senarai borang kahwin mereka. Tak percaya dokumentasi itu yang leceh, memang tak boleh buat pada minit akhir.
“Alhamdulillah sempat semuanya,” katanya.

Dalam hantaran sama, Shila mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kebahagiaan ibunya dan menitip pesanan agar tidak membandingkan perjalanan hidup sesiapa.
“Kebahagiaan itu milik semua, cepat atau lambat sahaja. Perjalanan kita takkan pernah sama, tapi destinasi kita sama.
Terima kasih juga kepada suami, Ubai, kerana mengiringi perjalanan ini.” ujarnya.
Pada Sabtu, Fauziah selamat bernikah untuk kali kedua dengan jejaka pilihannya, Zainal, dalam majlis ringkas yang dipercayai berlangsung di Bandar Baru Bangi, Selangor.
Untuk rekod, Fauziah pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi Datuk ND Lala pada 1989 dan bercerai selepas 34 tahun bersama. Pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata termasuk Shila, Amir Syafiq, Amir Syahir dan Syada.
Sumber: Threads