Skip to main content

Muzik

Single Baharu Adira & Fiq7, ‘Gelas Memori’ Ada Makna Tersendiri - “Setiap Orang Yang Pernah Merindui Seseorang Pasti Akan…”

Single Baharu Adira & Fiq7, ‘Gelas Memori’ Ada Makna Tersendiri

Ringkasan AI

  • Adira Suhaimi kembali dengan single terbaru berjudul ‘Gelas Memori’ yang berkolaborasi bersama rapper misteri, Fiq7.
  • Lagu ini menggabungkan genre balada dan rap, dengan lirik penuh makna tentang rindu, kehilangan, dan janji yang kekal.
  • ‘Gelas Memori’ dihasilkan oleh Nova Music dan Rhunut Music, dengan susunan muzik oleh Mas Dewangga.
  • Kolaborasi ini menonjolkan pertembungan dua generasi muzik, membawa dimensi baru kepada muzik tempatan.
  • Lagu rasmi dilancarkan pada 14 November 2025 dan sudah boleh distrim di semua platform muzik digital.

Penyanyi, Adira Suhaimi kembali dengan sentuhan segar melalui single terbaharu berjudul ‘Gelas Memori’ yang menampilkan kolaborasi istimewa bersama rapper penuh misteri iaitu Fiq7.

Lagu ini diterbitkan secara usahasama oleh Nova Music dan Rhunut Music, dengan komposisi dan lirik sepenuhnya oleh Fiq7 serta susunan muzik oleh Mas Dewangga.

Dengan kombinasi genre balada dan rap, ‘Gelas Memori’ membawa dimensi baharu kepada muzik tempatan.

Lagu ini menyelami tema rindu, kehilangan, dan janji yang kekal di hati menjadikan setiap bait lirik ibarat helaian kenangan yang tidak pernah pudar.

Menurut kolaborasi ini membawa pengalaman baharu  buat dirinya dari segi vokal dan penghayatan.

“Apabila saya mendengar demo lagu ini, saya terus tertarik dengan cara penceritaannya. Ia bukansekadar lagu cinta, tetapi kisah mengenai bagaimana kenangan boleh menjadi sumber kekuatan.

“Walaupun melodinya lembut, liriknya sarat dengan makna yang mendalam. Saya rasa setiap orang yang pernah merindui seseorang akan dapat memahami perasaan dalam Gelas Memori,” katanya.

Tambah Adira lagi, kolaborasi bersama Fiq7 membuka peluang untuk dirinya meneroka sisi berbeza dalam dunia muzik.

“Saya kagum dengan cara Fiq7 menulis dan menyampaikan liriknya. Gaya rap yang dipersembahkan tidak hanya pantas atau teknikal, tetapi puitis dan jujur.

“Ia membuatkan saya lebih terinspirasi untuk memberi nyawa kepada bahagian balada dalam lagu ini.

“Meski kami datang daripada dua dunia muzik yang berbeza, tetapi tujuan kami sama iaitu untuk menyampaikan emosi yang benar,” jelasnya.

Tambah Adira lagi, ‘Gelas Memori’ juga bukan sekadar lagu, tetapi sebuah karya seni yang menzahirkan kejujuran, emosi, dan evolusi dua artis dari generasi berbeza.

“Lagu ini membuktikan bahawa muzik mampu menyatukan jiwa walau datang dari dunia yang berlainan.

“Saya berharap dengan penghasilan yang berkualiti, Gelas Memori meninggalkan kesan mendalam di hati para pendengar,” ujarnya.

Sementara itu, Fiq7, menyifatkan ‘Gelas Memori’ sebagai karya paling peribadinya.

“Saya menulis lagu ini ketika melalui satu fasa kehidupan yang penuh ujian. Setiap baris lirik adalah refleksi kepada apa yang saya rasakan.

“Perkara itu termasuklah soal kehilangan, penyesalan, dan kekuatan untuk terus berdiri. Bila saya bayangkan lagu ini dengan suara Adira, saya tahu ia akan menjadi lebih bermakna,” ujarnya.

Fiq juga kini menjadi fenomena digital dengan jutaan tontonan di YouTube melalui lagu-lagu seperti Puisi Malam (8.5 juta)Rindu Tak Terucap (6.6 juta) dan Restu (1.6 juta).

‘Gelas Memori’ dihasilkan dengan sentuhan oleh Mas Dewangga, yang bertindak sebagai penerbit, penyusun, jurumix dan jurumastering.

Mas Dewangga berjaya menyeimbangkan elemen moden dan klasik dengan mengekalkan keaslian balada sambil memberi ruang kepada rap untuk menyerlah.

Lagu ini juga mencerminkan pertembungan dua generasi yang mana Adira sebagai figura dengan pengalaman bertahun-tahun, manakala Fiq7 mewakili gelombang baharu muzik digital yang lebih eksperimental dan bebas.

Gabungan ini menjadi simbol evolusi muzik tempatan yang kini semakin terbuka kepada kepelbagaian bunyi dan pendekatan kreatif.

Lagu ini turut menonjolkan sisi kematangan Adira sebagai penyanyi yang berani mencuba sesuatu yang berbeza, serta memperkukuh reputasi Fiq7 sebagai pencipta lagu yang berbakat besar.

Manakala lirik ‘Gelas Memori’ sarat dengan metafora dan simbolisme yang mana ‘gelas’ menjadi lambang kenangan yang menampung segala rasa, cinta, kehilangan, kesakitan dan kekuatan.

Setiap bait lirik ditulis dengan kejujuran yang membolehkan pendengar merasakan setiap denyut perasaan penulisnya.

Lagu ‘Gelas Memori’ dilancarkan secara rasmi pada 14 November 2025 dan boleh mula distrim di semua pelantar penstriman muzik.

Must-Watch Video

Advertisement