Sekilas
- Stevie Wonder memfailkan permohonan mahkamah di Los Angeles untuk mengeluarkan seorang wanita yang telah tinggal di kediamannya selama 40 tahun tanpa bayaran.
- Wanita tersebut, Carmen Efferson, didakwa enggan memberi kebenaran untuk pemeriksaan insurans dan menolak notis pengosongan rumah.
- Peguam Stevie Wonder menuntut penamatan persetujuan lisan, bayaran kos guaman, dan ganti rugi atas dakwaan pendudukan hartanah secara berniat jahat.
Pesohor Hollywood, Stevie Wonder terpaksa mendapatkan permohonan kebenaran mahkamah di California, Amerika Syarikat apabila seorang wanita yang sudah menetap di kediamannya selama 40 tahun secara percuma enggan keluar dari salan sebuah rumahnya.
Permohonan itu difailkan penyanyi berusia 76 tahun yang nama sebenarnya Stevland Hardaway Morris itu di Mahkamah Tinggi Los Angeles pada Khamis, 22 Oktober lalu, menurut dokumen mahkamah yang diperoleh People.
Menurut Rolling Stone, wanita berkenaan dikenali sebagai Carmen Efferson. Dia didakwa merupakan bekas tunang pelantun Part-Time Lover itu.
Menurut dokumen mahkamah, Wonder dan Efferson sebelum ini mempunyai persetujuan secara lisan yang membolehkan wanita itu tinggal di kediaman berkenaan sejak 1988.
Bagaimanapun, hubungan antara kedua-dua pihak mula berdepan konflik pada musim panas lalu apabila Efferson enggan memberi kebenaran kepada peguam Wonder selepas diberitahu sebuah syarikat insurans akan memeriksa kediaman tersebut.
Berdasarkan e-mel bertarikh 23 Julai yang disertakan dalam dokumen mahkamah, Efferson dimaklumkan pemeriksaan akan dilakukan pada 30 Julai bagi memastikan perlindungan insurans terhadap hartanah itu dapat dikekalkan.
Namun, Efferson didakwa menolak permintaan tersebut menerusi balasan e-mel dua hari kemudian dengan menyatakan dirinya berasa diganggu serta tidak bersetuju dengan pemeriksaan berkenaan.
Malah, dalam satu lagi e-mel susulan kepada peguam Wonder, Efferson menegaskan tidak memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak untuk memasuki kediamannya.
“Anda tidak mendapat kebenaran saya untuk memasuki hartanah ini atas apa-apa alasan. Jika anda atau mana-mana wakil lain cuba memasuki rumah saya atau menceroboh hartanah ini, saya akan segera menghubungi pihak berkuasa,” katanya, menurut dokumen berkenaan.
Susulan itu, dokumen mahkamah mendakwa notis 30 hari untuk mengosongkan kediaman berkenaan telah dikeluarkan pada hari berikutnya.
Bagaimanapun, Efferson didakwa masih enggan meninggalkan rumah tersebut meskipun notis berkenaan sudah diberikan.
Pihak Wonder turut mendakwa tindakan Efferson yang terus menduduki hartanah itu sebagai satu bentuk pendudukan secara berniat jahat.
Menerusi tuntutan tersebut, peguam Wonder memohon agar persetujuan lisan yang membenarkan Efferson tinggal di kediaman berkenaan ditamatkan.
Mereka turut menuntut bayaran kos guaman yang munasabah serta ganti rugi mengikut peruntukan undang-undang berhubung dakwaan pendudukan hartanah secara berniat jahat itu.