Sekilas
- Drake mengalami kerugian kira-kira RM6.4 juta selepas pertaruhannya pada Argentina gagal dalam final Piala Dunia FIFA 2026 apabila Sepanyol menang 1-0.
- Fenomena "Drake Curse" terus menjadi perbualan ramai, dengan laman web khas TheDrakeCurse.com merekodkan sejarah pertaruhan sukan penyanyi itu.
- Final Piala Dunia 2026 yang berlangsung di MetLife Stadium menyaksikan Sepanyol menamatkan penguasaan Argentina dan mencipta sejarah sebagai edisi pertama dengan 48 negara peserta.
Nampaknya sumpahan "Drake Curse" masih belum berakhir sekaligus menghidupkan teori "Drake Curse", iaitu kepercayaan dalam kalangan peminat sukan bahawa mana-mana atlet atau pasukan yang disokong atau dipertaruhkan oleh Drake sering berakhir dengan kekalahan.
Itu yang terjadi apabila rapper terkenal Kanada itu dilaporkan kerugian AS$1.5 juta (kira-kira RM6.4 juta) selepas pertaruhannya memihak kepada Argentina gagal apabila juara bertahan itu tewas 0-1 kepada Sepanyol pada aksi final Piala Dunia FIFA 2026.
Drake atau nama sebenarnya Aubrey Drake Graham meletakkan pertaruhan itu menerusi platform Stake sehari sebelum perlawanan berlangsung.
Sekiranya Argentina muncul juara, penyanyi berusia 39 tahun itu berpeluang membawa pulang lebih AS$5.1 juta (sekitar RM21.8 juta). Namun, nasib ternyata tidak menyebelahinya.

Malah, beberapa hari sebelum final Piala Dunia, Drake turut kerugian AS$1 juta apabila petaruhannya terhadap petarung UFC dari Ireland, Conor McGregor, tidak menjadi.
Fenomena itu begitu popular sehingga wujud sebuah laman web khas, TheDrakeCurse.com, yang merekodkan sejarah pertaruhan sukan penyanyi berkenaan.
Walaupun sering dikaitkan dengan "sumpahan", Drake tetap dikenali sebagai antara artis yang gemar membuat pertaruhan bernilai jutaan dolar untuk acara sukan utama.
Penyanyi yang popular menerusi lagu One Dance, Passionfruit dan Hold On, We're Going Home itu juga baru sahaja mengejutkan peminat apabila melancarkan tiga album serentak berjudul Iceman, Maid Of Honour dan Habibti pada Mei lalu.
Sementara itu, pada aksi final yang berlangsung di Stadium New York New Jersey (MetLife Stadium), Sepanyol menewaskan Argentina 1-0 menerusi jaringan pemain gantian Ferran Torres pada minit ke-106 masa tambahan.
Kemenangan itu sekali gus menamatkan penguasaan Argentina sebagai juara bertahan dan menghadiahkan gelaran Piala Dunia kedua buat Sepanyol selepas kejayaan pertama mereka pada edisi 2010 di Afrika Selatan.
Kejohanan tahun ini turut mencipta sejarah apabila menjadi edisi pertama Piala Dunia yang disertai 48 negara, selain dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.