Sekilas
- Datuk Seri Siti Nurhaliza memperkenalkan lagu raya baharu berjudul Beraya Dengan Saya dengan pendekatan muzik yang lebih segar dan mengikuti arus masa kini.
- Siti berharap lagu ini dapat memberi impak malar segar seperti lagu raya terdahulu dan turut berkolaborasi dengan komposer muda untuk menyokong bakat baru.
- Lagu Beraya Dengan Saya menerima sambutan positif dengan lebih 151,000 tontonan dan 6,000 tanda suka dalam tiga hari selepas pelancaran di YouTube.
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi mengenai pendekatan lagu raya baharunya yang dilihat sedikit berbeza berbanding genre yang dibawakan sebelum ini.
Menurut Siti, pendekatan itu diambil kerana mahu memastikan karya yang dihasilkan tidak ketinggalan serta mengikut arus muzik masa kini.
Dalam masa yang sama, pemilik nama Siti Nurhaliza Tarudin ini berharap dapat membantu komposer yang meningkat naik dengan cara berkolaborasi bersama mereka.
“Daripada tahun 90-an sehingga sekarang, saya dah merakamkan pelbagai irama, pelbagai konsep untuk lagu-lagu raya saya. Saya tak boleh ketinggalan dengan arus semasa.
“Saya rasa tak salah untuk saya mengikut peredaran muzik semasa supaya saya dapat membantu juga komposer-komposer baru. Saya dapat berkolaborasi dengan komposer baru.
“Yang lama kita tidak tinggalkan dan kita tidak lupakan. Penting untuk diri saya mencuba semua jenis genre muzik,” katanya kepada Gempak.
Justeru, pelantun lagu Wajah Kekasih itu berharap agar lagu raya baharunya yang berjudul Beraya Dengan Saya mampu memberikan impak seperti lagu-lagu raya yang pernah dihasilkannya sebelum ini.
“Dari lagu yang saya sampaikan, saya pun tak pernah sangka sebenarnya lagu ‘Sesuci Lebaran’ itu boleh jadi malar segar sampai ke hari ini.
“Dan mungkin lagu Beraya Dengan Saya ini akan menjadi lagu malar segar bila anak saya membesar nanti.
“Jadi, kita jangan mudah memberi tafsiran kepada lagu-lagu yang lain susunan muziknya sebab saya masih mengekalkan cara nyanyian saya iaitu adanya elemen tradisional. Cuma saya tak nak berada di takuk lama,” ujarnya.
Diminta mengulas mengenai trend pempengaruh menghasilkan lagu raya, ibu kepada dua orang anak ini beranggapan itu sebagai satu perkara positif yang dapat menambahkan lagi kemeriahan sambutan Aidilfitri.
“Kalau untuk industri, saya rasa okey dan tak ada masalah. Lagu raya ni bertambah meriah. Sebab setahun sekali saja kita nak menyuarakan ataupun nak melahirkan rasa gembiranya menyambut hari raya.
“Dan setiap orang ada caranya tersendiri, kita raikan saja. Raikan kelainan, raikan apa saja karya daripada anak-anak muda sebab mereka ni pun akan jadi pelapis kita nanti kan,” katanya lagi.
Pada Rabu, Siti baru sahaja melancarkan lagu raya baharu nyanyiannya yang berjudul Beraya Dengan Saya.
Selepas tiga hari dimuat naik di Youtube, muzik video lagu tersebut telah pun mencapai 151,000 tontonan dan lebih 6,000 tanda suka.