Sekilas
- Najwa Latif memilih untuk tidak melayan kritikan mengenai perubahan fizikalnya selepas bergelar ibu dan menghormati pandangan orang ramai tanpa perlu memberi penjelasan.
- Sokongan suami dan ibunya membantu Najwa menghadapi komen negatif, dan dia melihat fasa keibuan sebagai pengalaman yang membahagiakan tanpa menjadikannya alasan terhadap perubahan badan.
- Najwa belum merancang konsert dalam masa terdekat tetapi berhasrat menghasilkan sekurang-kurangnya satu lagu tahun ini sambil menyelesaikan komitmen lain.
Penyanyi Najwa Latif memilih untuk tidak melayan kritikan mengenai perubahan fizikalnya selepas bergelar ibu kepada seorang cahaya mata yang kini berusia 10 bulan.
Najwa atau mesra disapa Wawa berkata, dia menghormati pandangan orang ramai dan mengakui setiap individu mempunyai hak untuk memberikan pendapat masing-masing.
Namun, pelantun lagu ‘Cinta Muka Buku’ itu tidak merasakan setiap perkara yang diperkatakan mengenai dirinya perlu diberikan penjelasan atau respons.
“Pada Wawa, Wawa hormat semua orang punya pendapat. Semua orang berhak untuk bercakap apa-apa yang mereka nak cakap.
“Wawa rasa tak semua benda Wawa perlu respon dan dalam hal ini pun Wawa tak rasa Wawa perlu untuk beri respon,” katanya.
Terdahulu, perubahan fizikal Najwa menjadi perhatian selepas video persembahannya sempena Keretapi Sarong Johor Bahru 2026 tular di media sosial sehingga mengundang komen mengenai penampilannya.
Menurut Najwa, sokongan suami dan ibunya banyak membantu dirinya berdepan komen negatif.
Malah, antara perkara pertama dilakukannya apabila berdepan situasi sebegitu adalah menghubungi ibunya.
“Wawa bila benda-benda ini berlaku, perkara pertama yang Wawa akan buat adalah hubungi mak, beritahu dan minta maaf sebab benda tak baik keluar mengenai Wawa.
“Mak cakap, tidak mengapa, ini sebahagian daripada perjalanan hidup. Ada orang suka dan ada yang tidak suka. Kita hanya perlu menerimanya dan meneruskan kehidupan. Yang penting, kita buat perkara-perkara yang baik,” katanya.
Dalam pada itu, Najwa enggan menjadikan proses menyusukan anak sebagai alasan terhadap perubahan fizikal yang dialaminya.
Sebaliknya, penyanyi berusia 31 tahun itu melihat fasa menjadi ibu sebagai satu pengalaman yang membahagiakan dan mahu memberikan yang terbaik buat anaknya.
“Wawa tak nak jadikan itu alasan dan bukan satu beban untuk Wawa. Wawa sangat gembira untuk beri yang terbaik kepada anak.
“Apa yang orang nak cakap itu terpulang. Wawa tak rasa perlu untuk jelaskan atau ‘justify’ kenapa badan Wawa macam ini atau macam itu.
“Wawa menikmati apa yang Wawa sedang lalui. Wawa sangat gembira berada di keadaan Wawa sekarang,” katanya.
Najwa pada masa sama sedar aspek kesihatan tetap perlu diberikan perhatian, namun mahu menikmati terlebih dahulu perjalanan membesarkan anak perempuannya.
“Wawa tahu apa yang Wawa perlu buat, cuma buat masa ini, biarlah Wawa menghayati perjalanan ini terlebih dahulu.
“Sekarang ini proses untuk menjaga dia (anak perempuan). Wawa tidak mahu mengatakan perubahan berat badan ini disebabkan dia kerana Wawa rasa dia adalah satu anugerah daripada Tuhan,” katanya.
Berkongsi perkembangan kerjaya, Najwa memberitahu dia belum mempunyai perancangan untuk mengadakan konsert dalam masa terdekat kerana mahu menyelesaikan beberapa komitmen terlebih dahulu.
Bagaimanapun, Najwa tetap merancang menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah lagu pada tahun ini dan sedang mencari material yang bersesuaian.
“Kalau dari segi lagu, masih tengah cari material. Kalau tak jumpa material, Wawa akan buat sendiri lagu untuk tahun ini.
“Setiap tahun Wawa akan release sekurang-kurangnya satu lagu,” katanya.
Sumber: Berita Harian / iMedikel TV /Mingguan Wanita