Sekilas
- Adira Suhaimi belum membuat keputusan khusus mengenai penggunaan wang kemenangan RM30,000 yang dimenangi bersama anaknya, Anggrek, dalam program Talk To My Manager 2.
- Adira memuji bakat luar biasa Anggrek yang mampu menyanyi pelbagai genre dan memberikan persembahan hebat di pentas walaupun usianya masih muda.
- Walaupun Anggrek menunjukkan karakter berbeza di atas pentas, dia tetap anak Adira Suhaimi di luar pentas.
Bintang Talk To My Manager 2 (TTMM2), Adira Suhaimi mengakui masih belum mempunyai perancangan khusus mengenai wang kemenangan yang diraih selepas berjaya membawa Anggrek muncul sebagai juara bagi program berkenaan.
Menurut Adira, hadiah kemenangan tersebut sememangnya milik Anggrek dan sebarang keputusan mengenai penggunaannya akan dibincangkan bersama pada masa akan datang.
“Sejujurnya saya tak tahu lagi nak buat apa dengan duit kemenangan itu. Tapi yang pasti, itu memang duit Anggrek. Itu sahaja yang saya boleh cakap buat masa sekarang. Berilah kami sedikit masa untuk fikir sebab bukanlah kita tahu dari awal yang kita akan menang.
“Mungkin nanti kami akan berbincang dengan Anggrek juga, tetapi duit itu memang milik dia. Insya-Allah,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Adira turut meluahkan rasa kagum terhadap bakat luar biasa yang dimiliki Anggrek, malah mengakui tidak pernah menyangka anaknya itu mampu memberikan persembahan pada tahap yang begitu tinggi.
“Kalau nak cakap jujur, saya memang tidak pernah menjangkakan dia sehebat ini. Semua ini adalah pinjaman dan anugerah daripada Allah.
“Pada usia dia sekarang, dia sudah boleh menyanyi pelbagai genre, membuat persembahan di atas pentas, menghafal tarian dan lirik, selain menampilkan ekspresi wajah yang sesuai dengan persembahan.
“Kalau saya sendiri, selepas 16 tahun berada dalam industri pun saya rasa belum tentu mampu melakukan seperti dia. Sebab itu saya rasa Anggrek adalah anugerah yang sangat luar biasa,” ujarnya.
Mengulas mengenai personaliti Anggrek, Adira berkata juara TTMM2 itu mempunyai karakter yang berbeza apabila berada di atas pentas berbanding kehidupan sehariannya.
“Karakter dia di luar pentas memang lain. Tapi bila dia naik ke atas pentas, dia jadi orang yang berbeza.
“Tapi apabila dia turun dari pentas, dia tetap Anggrek yang sama. Dia masih lagi anak Adira Suhaimi,” katanya.
Terdahulu, Anggrek dan Adira berjaya menewaskan empat pasangan lain pada pentas akhir TTMM2 menerusi persembahan bertenaga yang memukau juri dan penonton, sekali gus membawa pulang wang tunai RM30,000 berserta pelbagai hadiah iringan.