Sekilas
- Minggu kedua Talk To My Manager 2 tiada pasangan pengurus dan artis disingkirkan, namun Linda Jasmine & Ratu, Pak Azad & Ammar serta Adira & Anggrek berada di tiga terbawah.
- Ani Mayuni & Viviana mencuri perhatian dengan markah tertinggi menerusi lagu Rayuan Perempuan Gila yang mendapat pujian juri.
- Program dikendalikan oleh Aznil Nawawi bersama juri Sarimah Ibrahim dan AC Mizal, disiarkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria dan boleh distrim di Astro GO dan Sooka.
Pentas Talk To My Manager 2 (TTMM2) minggu kedua menyaksikan tiada pasangan pengurus dan artis disingkirkan.
Bagaimanapun, Linda Jasmine & Ratu, Pak Azad & Ammar serta Adira & Anggrek masing-masing berada di kedudukan tiga terbawah.
Sementara itu, Ani Mayuni & Viviana mendapat markah tertinggi menerusi persembahan mantapnya yang mendendangkan lagu Rayuan Perempuan Gila.
Berikut merupakan recap komen bagi semua bintang Talk To My Manager 2 di minggu kedua:
Linda Jasmine x Ratu - Sometimes
Datuk AC Mizal: Ratu, persembahan awak pada malam ini pada saya adalah kurang keyakinan. Tapi bila awak mula menari nampak awak mula yakin. Vokal bukan kekuatan tetapi awak ada style yang berbeza jadi lebihkan tumpuan kepada apa yang awak boleh. Kalau awak pandai jaga pernafasan dan tempo, awak akan jadi lebih baik. Awak ada aura tapi saya nak awak jadi lebih yakin. Awak ada potensi cuma perlu tahu cara menyanyi yang sesuai untuk anda.
Pak Azad x Amarra - Kini Kau Tiada
Che Puan Sarimah Ibrahim: Well done, fantastic. Cara Ammara interpretasi lagu ini, ditambah pula dengan bahagian rap sangat bagus. Ammara juga berjaya bawa lagu ini dengan jujur dan cara dia tersendiri.
Safura x Kim Khairii - Seribu Tahun
Aina Abdul: Hebatnya awak. Setiap kali saya mendengar persembahan, saya akan lihat pada first note dan awak berjaya lakukannya dengan betul. Merinding buku roma saya bila melihat persembahan awak dan saya yakin penyanyi asal juga gembira melihatnya.
Dato’ Fazley x Fariedz Fazley - Aku Di Matamu
Datuk AC Mizal: Persembahan dia sangat bagus, suara dan tone awak bagus. Cuma kena kawal suara ketika menyanyi, cantik kan lagi.
Che Puan Sarimah: Saya suka cara awak menyanyi cuma saya harap lepas ini bila bernyanyi, buka cermin mata.
Adira x Anggrek - Aku Tak Percaya Cinta
Che Puan Sarimah: Saya jatuh cinta dengan Anggrek. Saya sukakan kejujuran dia. Adira, saya juga berbangga dengan awak kerana awak berjaya gilap Anggrek.
Ani Maiyuni x Viviana - Rayuan Perempuan Gila
Aina Abdul: Saya suka penyanyi yang ada konsep begini. In character dan saya rasakan Viviana boleh jadi pelakon dan juga penyanyi.
Datuk AC Mizal: Persembahan yang lain dari yang lain. Raut wajah, penyampaian yang bagus. Mengenangkan baru minggu kedua dah macam ini, saya tak sabar nak tengok minggu hadapan.
Dato’ Sri Vida x Cik B - Sakit
Datuk AC Mizal - Cik B, waktu saya dapat tahu awak nyanyi lagu ini, harapan saya tinggi. Awak cuba juga. tukar kepada tone yang awak ada.
Cuma bila awak overdo, hilang identiti Cik B. Tak salah apa yang awak buat cuma awal perlu kawal supaya orang luar tak keliru. Kalau ekspresi dilakukan dengan lebih baik mesti lagi cantik. Kena kawal emosi, kena bagi orang menangis dan jangan bagi orang keliru.
Aina Abdul - Saya rasa apa yang Cik B cuba sampaikan dan pada saya apa yang Cik B buat itu adalah sebagai wakil buat kita semua.
Dato’ A.Aida x Azeva - Make You Mine
Che Puan Sarimah: Berani memilih lagu ini. Saya suka sebab nampak awak enjoy atas pentas. Tahniah kepada manager. Cuma saya hanya dapat rasa kekuatan vokal awak pada penghujung persembahan.
Aina Abdul: Saya rasa key awak terlalu rendah sebab range suara awak tinggi sebenarnya di hujung persembahan.
Nana Mahazan x Althea - Haruka Kanata
Aina Abdul - Saya peminat awak lama dah dan sebenarnya saya sudah lihat perjalanan awak dari kecil. Memandangkan awak boleh bermain hampir semua alat muzik, jadi awak boleh menulis lagu satu hari nanti.
Datuk AC Mizal - Saya rasa ini genre yang sesuai untuk awak cuma awak kena perbaiki sedikit beberapa perkara. Saya yakin ini juga adalah perjalanan terbaik buat anda dalam industri.
Jamilulhayat x Hussain - Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu
Datuk AC Mizal - Ini yang saya katakan less is more, sudah nampak kekuatan di mana. Vokal adalah kekuatan kamu. Terima kasih kerana hiburkan kami dengan suara yang lunak dan persembahan yang baik.
Program ini dikendalikan oleh pengacara legenda, Aznil Nawawi, bersama barisan juri ternama iaitu Sarimah Ibrahim dan AC Mizal.
Antara barisan pengurus artis yang bertanding untuk musim kedua adalah Adira dan Anggrek, Ani Maiyuni dan Viviana, Datuk A. Aida dan Azeva, Dato’ Fazley dan Fariedz Fazley.
Malah TTMM2 juga menyaksikan penyertaan Dato’ Sri Vida dan Cik B, Jamilulhayat dan Hussain, Linda Jasmine dan Ratu, Nana Mahazan dan Althea, Pak Azad dan Amarra, serta Safura dan Kim Khairii.
Setiap pasangan ‘pengurus-artis’ dinilai secara keseluruhan dengan pecahan 60 peratus untuk pengurus dan 40 peratus untuk artis.
Saksikan konsert Talk To My Manager 2 setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam.
Program ini juga boleh distrim secara On Demand menerusi aplikasi Astro GO dan Sooka.