Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyorot perhatian netizen selepas berkongsi video anak buahnya yang juga bintang program Talk To My Managaer (TTMM), Ahmad Dayyan sewaktu rehearsal baru-baru ini.
Menurut Siti, Ahmad atau lebih mesra disapa sebagai Amad berada dalam keadaan baik, sihat dan bersedia untuk membuat persembahan, namun apa yang berlaku di pentas akhir itu adalah di luar jangkaan.
Advertisement
Siti menegaskan bahawa insiden tersebut bukan berpunca daripada masalah kesihatan, tekanan daripada komen netizen, atau keletihan, sebaliknya sesuatu yang tidak dapat dijelaskan secara logik.
“Kondisi Amad dalam keadaan baik, sihat dan fit untuk persembahan namun takdir berkata lain pada hari persembahan Gran Finale.
“Sebagai ahli keluarga kami mengetahui perkara yang berlaku bukan faktor kesihatan, kesan dari komen atay penat tetapi sebagai manusia biasa. Kita percaya dalam kehidupan ada hal-hal luar dugaan dan tak masuk akal tapi itulah hakitkatnya,” katanya.
Dalam pada itu, pelantun lagu Aku Bidadari Syurgamu itu juga menyeru agar orang ramai tidak membuat pelbagai andaian atau persepsi mengenai kejadian tersebut kerana hanya individu yang berada di lokasi mengetahui situasi sebenar.
“Bagi sesiapa yang berada di lokasi semalam, pasti tahu apa yang berlaku. Untuk bersikap adil kepada Amad janganlah ada pelbagai persepsi kerana mereka yang melihat kejadian sahaja yang tahu.
“Begitulah, setiap kita ada cabaran, ini kan pula dalam bidang ini. Segalanya terbuka luas…
Malah malam tadi bukan Amad sahaja yang terkena tetapi adik Amad, Aisy juga terkena tempiasnya.Doakan agar kita semua dilindungi-Nya selalu. Doakan Amad juga,” tambahnya.
Terdahulu, beberapa minit sebelum memulakan persembahan, Amad kelihatan kurang sihat selain sempat menyebut ‘sakit’ sebelum cuba ditenangkan oleh ibu serta pihak produksi.
Malah Ahmad difahamkan pengsan sejurus selepas melakukan persembahan terakhir bersama penyanyi Nadeera Zaini menerusi lagu Bukan Lagi Kita untuk konsert Grand Finale.
Sekadar info, Siti Sairah dan Amad berjaya menduduki tangga keenam dengan markah 52.17 peratus menerusi persembahanya yang membawakan lagu Cinta Kerana Cinta (Judika) dan Bukan Lagi Kita bersama Nadeera Zaini.