Bintang Talk To My Manager (TTMM), Siti Sairah berkongsi pihak produksi sebenarnya sudah memberi bayangan awal mengenai penambahan minggu untuk rancangan tersebut sejak minggu keempat lagi.
Menurut Siti Sairah, meskipun ramai menyangka pengumuman minggu tambahan menuju pusingan akhir sebagai kejutan, namun perkara itu sebenarnya sudah dirisik oleh pihak produksi lebih awal.
“Sebenarnya pihak produksi dah bertanya dan merisik-risik dengan kami sejak minggu keempat lagi. Jadi kami memang sudah tahu dari segi penambahan minggu.
“Untuk yang tersingkir atau tidak itu, memang kami tak tahu menahu tentang perkara itu. Kami hanya tahu mengenai penambahan minggu untuk grand final,” katanya kepada Gempak.
Siti Sairah turut menegaskan bahawa penambahan minggu tersebut bukanlah satu kejutan memandangkan semua bintang yang menyertai program tersebut sudah mengetahuinya lebih awal.
“Bukan surprise sebenarnya sebab daripada minggu keempat lagi pihak produksi dah merisik-risik kami untuk memastikan kami lock waktu kami sebaiknya. So, alhamdulillah memang ada penambahan satu minggu lagi,” tambahnya.
Terdahulu, kejutan buat peminat rancangan realiti Talk To My Manager (TTMM) apabila pihak produksi mengumumkan akan menambah satu lagi minggu sebagai grand finale selepas menerima sambutan luar biasa daripada penonton.
Pengumuman itu dibuat oleh pengacara, Datuk Aznil Hj. Nawawi (Pak Nil) di penghujung konsert minggu akhir malam ini, sekali gus mengesahkan keenam-enam bintang, Marsya (Liza Hanim), Ammar (Ameng Spring), Amad (Siti Sairah), Thalita (Shuib), Hadie (Ina Naim) dan Auddra (Sharifah Shahirah) akan kembali berentap pada minggu tambahan tersebut.