Skip to main content

Hiburan

Tanda Penghargaan! Grab Malaysia, MONSTA & Astro Shaw Belanja Pemandu & Rider Tonton Filem Papa Zola The Movie

Papa Zola The Movie

Sekilas

  • Grab Malaysia bersama MONSTA dan Astro Shaw meraikan lebih 100 penghantar dan pemandu dengan tayangan khas Papa Zola The Movie di GSC One Utama sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mereka.
  • Filem animasi Papa Zola mengangkat kisah pengorbanan seorang bapa penghantar makanan yang berjuang demi keluarga, selari dengan realiti ekonomi gig masa kini.
  • Kerjasama ini turut disokong dengan kempen digital dan penampilan maskot Papa Zola dalam aplikasi Grab, sambil filem ini bakal ditayangkan di peringkat antarabangsa mulai 2026.

Bagi menutup tirai tahun 2025 dengan penuh makna, Grab Malaysia dengan kerjasama MONSTA dan Astro Shaw meraikan lebih dari 100 wira-wira di sebalik platformnya dengan menonton filem nombor satu di pawagam ketika ini iaitu Papa Zola The Movie. 

Lebih istimewa, inisiatif hari ini turut mengundang ahli keluarga rakan penghantar dan pemandu untuk sama-sama meluangkan masa berkualiti dan menikmati tayangan khas filem ini yang bertempat di Golden Screen Cinema (GSC), One Utama Petaling Jaya.

Sebagai simbolik kerjasama ini, maskot Papa Zola dilihat membuat penampilan khas dengan memakai jaket Grab semasa sesi fotografi serta beramah mesra bersama para hadirin, manakala para penghantar dan pemandu hadir dengan uniform Grab. Turut diadakan adalah pemberian cenderahati eksklusif Papa Zola The Movie kepada tetamu.   

Acara ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan terhadap kerja keras dan pengorbanan para rakan penghantar dan pemandu Grab yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam perkhidmatan mereka dan tidak lelah berusaha demi kesejahteraan keluarga. 

Seiring dengan naratif Papa Zola The Movie, filem ini mengangkat kisah pengorbanan Papa Zola, seorang bapa penyayang yang bekerja keras sebagai penghantar makanan demi kebahagiaan anak dan isterinya. Filem ini membawa emosi dan realiti yang dekat dengan penonton, memperlihatkan Papa Zola sebagai simbol perjuangan yang mewakili rakan-rakan penghantar yang menghadapi cabaran harian dalam industri khidmat penghantaran. 

Menurut Pengarah Operasi Negara & Mobiliti di Grab Malaysia iaiti Rashid Shukor, pihaknya sangat berbesar hati dengan inisiatif yang dilakukan.

“Di Grab Malaysia, kami berbesar hati meraikan rakan pemandu dan penghantar kami yang merupakan nadi kepada platform ini.

“Tayangan istimewa ini adalah satu sambutan khusus sebagai penghargaan terhadap dedikasi, kegigihan dan peranan penting mereka dalam menyara keluarga setiap hari.

“Selaras dengan mesej daripada Papa Zola The Movie, kami berharap inisiatif ini dapat memberi peluang kepada mereka untuk meluangkan masa berkualiti bersama orang tersayang dan mencipta kenangan keluarga yang bermakna,” kataya.

Dalam pada itu, Pengarah & Penulis Papa Zola The Movie yang juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA iaitu Nizam Abd Razak berharap agar filem animasi yang mereka hasilkan ini dapat memberi inspirasi buat para pejuang di luar sana.

“Papa Zola The Movie merupakan sebuah naskhah yang berakar daripada realiti kehidupan hari ini, tentang ibu bapa yang sama-sama memikul tanggungjawab demi keluarga.

“Dalam dunia yang semakin mencabar, termasuk realiti ramai yang mencari rezeki melalui ekonomi gig seperti penghantaran makanan, kisah ini dekat dengan apa yang kita lihat setiap hari.

“Justeru, kami melihat filem ini sebagai naskhah untuk para pejuang di luar sana yang berjuang dalam diam, namun tetap cekal demi insan tersayang,” katanya.

Sementara itu, Raja Jastina Raja Arshad selaku Penerbit Eksekutif Papa Zola dan juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad sangat berbesar hati atas kerjasama yang dijalinkan bersama Grab.

“Kami di Astro Shaw amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Grab Malaysia untuk berkongsi momen istimewa ini bersama rakan-rakan penghantar dan pemandu Grab serta keluarga mereka.

“Papa Zola The Movie mencerminkan realiti pengorbanan, kasih sayang dan ketabahan pejuang keluarga yang gigih bekerja setiap hari demi insan tersayang. Tayangan khas hari ini adalah tanda penghargaan kami terhadap dedikasi para penghantar dan pemandu yang sentiasa cekal tanpa mengenal penat.

“Kami berharap usaha ini dapat memberi mereka ruang untuk lebih menghargai ahli keluarga serta meninggalkan kenangan manis yang akan diingati bersama,” ujarnya.

Grab turut berkempen dalam menyokong industri animasi tempatan dengan menampilkan karakter Papa Zola di dalam aplikasi Grab serta pengiklanan digital luar rumah (D00H), sekali gus mengukuhkan lagi keterlibatan jenama dan meraikan komuniti penghantar dan pemandu secara menyeluruh.

Papa Zola The Movie mengisahkan Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras menyara keluarga kecilnya. Tanpa diduga, dia bertemu semula dengan rakan lama yang pernah berkhidmat bersamanya dalam organisasi rahsia P.A.P.A (Protect and Prevent Agency). Namun keadaan menjadi genting apabila anaknya, Pipi, diculik makhluk asing.

Papa Zola bersama Mama Zila perlu bertindak pantas untuk menyelamatkan Pipi dan melindungi dunia daripada ancaman tersebut.

Filem ini kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Filem ini bakal melangkah panggung antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia dan di India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah yang merangkumi Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April 2026.

Must-Watch Video

Advertisement