Skip to main content

Selebriti

Tanpa Kompromi, DOLLA Kini Kembali Dengan ‘Ugly’

Tanpa Kompromi, DOLLA Kini Kembali Dengan ‘Ugly’

Sekilas

  • DOLLA kembali dengan lagu baharu berjudul Ugly yang membawa mesej tentang harga diri dan penentangan terhadap penilaian negatif orang lain.
  • Video muzik Ugly menggunakan elemen Wayang Kulit untuk menggambarkan perbezaan antara persepsi dan kebenaran dalam kehidupan.
  • DOLLA berharap lagu ini menjadi sumber kekuatan kepada pendengar dan merancang untuk memperluaskan pengaruh mereka ke pentas antarabangsa.
Advertisement

Kumpulan DOLLA kini kembali dengan sebuah lagu baharu berjudul Ugly.

Lagu ini merupakan pernyataan tegas tentang harga diri dan keengganan untuk dipandang rendah, di samping menolak sebarang cubaan orang lain untuk menentukan identiti mereka.

Advertisement

Menurut DOLLA, lagu ini ditujukan kepada sesiapa sahaja yang pernah dihakimi atau didesak hingga batas kesabaran terakhir dan bersedia untuk bangkit melawan.

“Jika kami perlu menggambarkan Ugly dalam satu perkataan, perkataan itu ialah ‘tanpa kompromi’.

“Lagu ini adalah tentang menerima dan berdiri teguh dengan siapa diri kita, tanpa membenarkan orang lain menentukan identiti kita,” kata DOLLA.

Advertisement

Tambah DOLLA lagi, mesej lagu ini amat dekat dengan hati kumpulan itu sendiri kerana setiap anggotanya pernah melalui pengalaman dihakimi dan disalahertikan dalam cara yang berbeza.

“Kami terus dapat menghayati lagu ini kerana mesejnya terasa begitu peribadi. Ada satukepuasan apabila kami dapat mengambil segala perasaan itu dan mengubahnya menjadi kekuatan menerusi Ugly.

“Lagu ini mempunyai tenaga yang penuh penentangan, tetapi pada dasarnya, ia adalah tentang keberanian untuk menentukan naratif kita sendiri,” jelas DOLLA.

Video muzik Ugly mengembangkan lagi mesej lagu tersebut menerusi sebuah dunia visual yang memukau, diinspirasikan oleh Wayang Kulit, seni persembahan bayang-bayang tradisional Malaysia.

Penggunaan cahaya, bayang-bayang, pergerakan, muzik dan penceritaan melambangkan perbezaan antara persepsi dengan kebenaran.

Sebagaimana penonton membentuk tanggapan terhadap sesuatu watak hanya berdasarkan bayang-bayangnya tanpa melihat gambaran yang menyeluruh, manusia juga sering menghakimi orang lain berdasarkan penampilan, khabar angin atau versi kebenaran yang diceritakan oleh pihak lain.

“Kita melihat bayang-bayang lalu membentuk tanggapan tentang watak tersebut tanpa pernah melihat gambaran yang sepenuhnya.

“Kami merasakan konsep itu sangat serasi dengan Ugly, kerana manusia sering melakukan perkara yang sama terhadap satu sama lain.

“Lagu ini seolah-olah menjadi peringatan daripada kami bahawa persepsi tidak semestinya mencerminkan kebenaran.

“Sikap berani yang dibawa oleh lagu ini amat jelas menerusi bahagian hook yang mudah melekat di ingatan, ‘You better go run, you better go hide,’” kata DOLLA.

Malah, sebahagian besar dunia visual yang penuh intensiti dalam video muzik tersebut dihasilkan pada peringkat pascaproduksi.

Hal ini memerlukan DOLLA membayangkan sendiri skala dan keamatan dunia akhir yang ingin diwujudkan ketika menjalani penggambaran.

Beberapa babak turut dirakam hampir sepenuhnya dalam kegelapan di dalam sebuah rumah tradisional Melayu, sekali gus mewujudkan suasana tersendiri serta mengetengahkan elemen tempatan yang jelas.

DOLLA berharap para pendengar akan menjadikan Ugly sebagai lagu pilihan setiap kali mereka perlu menyusun semula tenaga atau berhenti memikul beban pandangan orang lain.

Selain terus membawa muzik, visual dan persembahan mereka ke arah yang tidak dijangka, DOLLA juga merancang untuk memberikan tumpuan yang lebih besar kepada persembahan di peringkat antarabangsa, mendekati khalayak di luar Malaysia serta memperkukuh kehadiran mereka di pentas global.

Ugly kini boleh didengarkan di semua platform penstriman utama.

Anda mungkin berminat dengan

Grace and Glow Daisy Hair Vitamin Mist - Hair Perfume Serum Volumizing Spray Anti Rambut Kusut with Keratin

Grace and Glow Daisy Hair Vitamin Mist - Hair Perfume Serum Volumizing Spray Anti Rambut Kusut with Keratin

Luxurious Extra Hold Hair Spray 100ml 420ml (For West Malaysia Only) Travel Mini Hair Spray

Luxurious Extra Hold Hair Spray 100ml 420ml (For West Malaysia Only) Travel Mini Hair Spray

Related Topics

Must Watch Video

Advertisement