Skip to main content

Konsert

Tetralogi Pengajian Khazanah Seni Dato M. N47IR Cipta 4 Yang Cukup Sempurna

ASTRO GEMPAK mnasir (1)

Sekilas

  • Konsert M.N47IR CIPTA 4 di Unifi Arena Kuala Lumpur meraikan 47 tahun perjalanan seni Dato' M Nasir dengan persembahan karya-karya ikoniknya yang sarat makna dan budaya pop.
  • M Nasir bukan sahaja pencipta lagu untuk dirinya sendiri tetapi juga menghasilkan karya untuk penyanyi terkenal lain, membina ekosistem pemuzik tempatan yang berkualiti tinggi.
  • Konsert ini mendapat sambutan hangat pelbagai generasi peminat, menandakan penghormatan dan kejayaan penganjuran serta penghayatan seni M Nasir dalam industri hiburan Malaysia.

Barangkali tulisan ini bersifat sedikit peribadi tetapi penulis tetap mahu berbagi rasa mengenai seorang seniman yang menerima beragam panggilan termasuk sifu dan meastro dengan nama Dato M Nasir. 

Ini juga bukan reviu pertama mengenai persembahan M Nasir ; sudah beberapa kali penulis diberi amanah melunaskan tanggungjawab menonton, melihat dan merasa atmosfera yang ditebarkan karyawan seni unggul sejak beberapa tahun menekuni bidang kewartawanan hiburan.

Namun setelah duduk menonton dan menikmati tetralogi atau saga konsert dengan penjenamaan Cipta yang telah dimulai sejak Ogos 2024, penulis berasa ‘kecil’ kerana bagaimana seorang penulis amatur mahu menggisahkan tentang perjalanan seni dan karya seorang M Nasir.

Antara sebabnya juga adalah M.N47IR CIPTA 4 yang berlangsung di Unifi Arena Kuala Lumpur adalah perayaan 47 tahun beliau meneroka lalu menerjemahkan karya-karya seninya yang beragam ; bukan buat dirinya peribadi tetapi ‘menghidupkan’ nama banyak penyanyi tempatan dengan cukup gah. Ironi, penulis hanya baru menjadi wartawan hiburan sekitar 22 tahun.

Apa sangat yang penulis tahu mengenai karya-karyanya seperti Suatu Masa, Bas No 13, Padang Lalang, Empat Penjuru, Andalusia, Berikan Nurbisa atau Sahabat Gua dan Apokalips (hanya beberapa yang didendangkan malam itu) yang bukan hanya melodinya sudah jauh ke depan daripada zaman ia diciptakan tetapi bagaimana sarat isu kemanusiaan, perasaan, pemerhatian serta ‘kelembutan’ yang dibina dalam bunyi bahasa, pembentukan kata, pembinaan ayat serta makna yang disampaikan dalam karya bernama budaya pop.

M Nasir tahu segalanya. Beliau seperti punya poket Doraemon ; minta, maka lahirlah pula karya-karya ikonik seperti Fantasia Bulan Madu (Search), Dari Kekasih Kepada Kekasih (Dato Hattan), Sampai Hati (Spring), Azura (Dato Jamal Abdillah), Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara, (Mega) Andai Aku Pergi Dulu (Alleycats) dan Istana Menanti (Rahim Maarof) yang beragam nuansa (juga beberapa karya yang disampaikan malam itu). Entah apa yang ada dalam otak beliau atau berapa ‘megabait’ data yang disimpan secara manual sebagai seorang manusia dengan bakat luar biasa ini.

Baik, masuk kepada konsert yang dianjurkan Icon Entertainment ini. Dengan penjenamaan Cipta, ia sesungguhnya signifikan dengan keseluruhan konsep yang dipersembahkan. M Nasir adalah pencipta. Beliau adalah manusia yang dicipta Allah dengan keajaiban menyentuh jiwa manusia lain memenerusi bakat yang dianugerahkan kepadanya.

Beliau mencipta karya-karyanya mengikut firasat bergantung rasa atau momen peribadi dan peristiwa yang terjadi sehari-hari (saya tebak begitu). Beliau kemudian memanjangkan ilmu dengan mencipta pula karya-karya buat penghibur mengikut acuan masing-masing lalu ’subur’ dengan sentuhan listrik seorang M Nasir. Bersama karya-karya yang dicipta, M Nasir mencipta eko sistem atau kumpulan pemuzik yang cukup mahir dengan ‘peralatan perang’ masing-masing’.

Lihat sahaja bagaimana enak dan mempersona permainan setiap pemuzik diketuai pengarah muzik, Aznan Alias yang juga pemain gitar (satu) dibantu pembantu pengarah muzik,  Firdaus Mahmud (keyboard) bersama rakan lain seperti Rafi Mohd, Norman Abdullah, Ujang Exists, Eddie Slam, Pa’ang Zaman, Awe, Mohar, dan penyanyi Yuaz, Eja, Widy, Juanita serta Awe. M Nasir telah mencipta rantaian pemuzik tempatan dengan kualiti tinggi. Dan semuanya dipersembahkan dalam sebuah konsert yang mengusung penjenamaan Cipta. 

Tahniah juga buat Icon Entertainment selaku penganjur dan OPR Network yang pakar dalam memberi hala tuju penganjuran ; kalian telah mencipta satu lagi sejarah manis tentang belantika hiburan tanah air yang patut dibanggakan.

Tidak perlu penulis menulis panjang lebar tentang reviu vokal terkucil, lupa atau salah lirik, lampu malap atau terlebih terang kerana tugas penulis bukan untuk menghakimi (ia juga pasti banyak diluahkan peminat sendiri di media sosial) tetapi penulis hanya mahu menikmati dan meraikan karya seniman negara yang perlu terus dimartabatkan, kecuali telah berlaku momen yang sangat tidak logik atau merugikan banyak pihak terutama peminat yang mengeluarkan duit mereka untuk menikmati hiburan yang dihidangkan.

Sementelah jika kalau penulis tidak salah menyimpulkan dengan melihat betapa bergembiranya peminat ‘bertemasya’ dengan karya-karya yang disampaikan melalui ‘cara M Nasir’ yang bila-bila masa boleh menjadi lain kerana dipersembahkan secara langsung melalui improvisasi spontan, penulis percaya semua menerima baik konsert terakhir itu.

Meski tidak dilakukan secara berlebihan untuk meraih pengiktirafan atau pujian, sebenarnya penghormatan terbesar yang diperoleh M Nasir dan seluruh tim produksi adalah konsert berjalan lancar serta berjaya menyempurnakan pengajian khazanah seni beliau yang telah menemani kita dalam banyak fasa hidup.

Dengan semua yang penulis sampaikan, melihat bagaimana stadium dipadati peminat pelbagai generasi merayakan tetralogi Cipta M Nasir dengan penuh antusias, ia cukup memberi justifikasi bahawa M Nasir adalah seniman sakti. Terima kasih M Nasir semoga kita mampu melihat, mendengar, merasa dan menikmati  lagi karya-karya sakti anda di masa depan.

Anda mungkin berminat dengan

VELOCITY Tri-Blend Running T-Shirt Men in Green Terrain/Heather by PUMA

VELOCITY Tri-Blend Running T-Shirt Men in Green Terrain/Heather by PUMA

Skechers Unisex CNY Short Sleeve Tee

Skechers Unisex CNY Short Sleeve Tee

adidas Football Manchester United 25/26 Pre Match Jersey Men Black KA6419

adidas Football Manchester United 25/26 Pre Match Jersey Men Black KA6419

adidas Football Manchester United 25/26 Third Jersey Men Black KD4225

adidas Football Manchester United 25/26 Third Jersey Men Black KD4225

Rezeki Bersama RM5

Rezeki Bersama RM5

PUMA MEN S GRAPHIC TEE PUMA FIT PUMA Black 52419801

PUMA MEN S GRAPHIC TEE PUMA FIT PUMA Black 52419801

Must Watch Video

Advertisement