Sekilas
- Legenda filem Hong Kong, Patrick Tse Yin, meninggal dunia pada usia 89 tahun akibat pneumonia, dengan keluarga di sisi ketika pemergiannya.
- Anak-anaknya, Nicholas dan Jennifer Tse, mengumumkan berita sedih itu dan berkongsi hasrat arwah untuk meninggalkan dunia secara tenang tanpa upacara besar.
- Harta pusaka Tse dianggarkan bernilai RM54 juta, dengan sebahagian besar diwarisi cucu-cucunya, dan pemergiannya mendapat ucapan takziah daripada selebriti terkenal seperti Jackie Chan dan Stephen Chow.
Dunia hiburan Hong Kong diselubungi duka apabila legenda filem, Patrick Tse Yin, meninggal dunia pada usia 89 tahun.
Pemergian aktor, pengarah dan penerbit yang mesra disapa "Sei Gor" itu diumumkan oleh dua anaknya, Nicholas Tse dan Jennifer Tse, menerusi media sosial pada Isnin.
Menurut Jennifer, bapanya menghembuskan nafas terakhir dengan tenang di hospital selepas mengalami kemerosotan kesihatan dipercayai kerana pneumonia atau jangkitan paru-paru dengan ditemani keluarga tercinta, lapor AsiaOne.
Lebih menyentuh hati, keluarga bintang yang terkenal dengan lakonan dalam filem seperti Shaolin Soocer dan King of Gambler dilaporkan seperti memenuhi hasrat terakhir Patrick yang pernah menyuarakan keinginannya untuk meninggalkan dunia tanpa sebarang upacara besar.
Dalam satu wawancara terdahulu, Tse pernah meluahkan hasrat yang berbunyi: “Saya berharap dapat mengucapkan selamat tinggal kepada dunia ketika berada pada saat paling bahagia dalam hidup.
Saya akan beritahu keluarga dan rakan-rakan, jangan jadikannya satu majlis besar. Biarkan saya pergi dengan tenang."
Terdahulu media tempatan dimaklumkan veteran Hong Kong itu telah selamat disemadikan dengan bekas isterinya, Deborah Lee memberitahu ‘bukan masa yang sesuai’ untuk berbicara tentang kematian lelaki yang pernah mencuti hatinya itu,
Sementara itu, Nicholas turut meminta peminat agar tidak terlalu bersedih mengenangkan pemergian bapanya.
Sebaliknya, pelakon dan penyanyi berusia 45 tahun itu berharap orang ramai akan terus mengingati Tse sebagai seorang insan yang sentiasa menawan dengan senyuman di wajahnya.
Dalam perkembangan lain, media Hong Kong melaporkan bintang itu meninggalkan harta dianggarkan bernilai HK$100 juta (sekitar RM54 juta).
Lebih mengejutkan, sebanyak 90 peratus daripada harta pusaka tersebut didakwa diwasiatkan kepada dua cucunya, Lucas dan Quintus iaitu anak hasil perkahwinan Nicholas Tse dan pelakon Cecilia Cheung.
Baki 10 peratus pula dilaporkan akan dibahagikan kepada Nicholas dan Jennifer, yang masing-masing sudah berkeluarga.
Sehingga kini, keluarga Tse masih belum mengesahkan laporan mengenai pembahagian harta pusaka itu.
Laporan sama mendedahkan pemergian Tse turut mengundang ucapan takziah daripada ramai selebriti terkenal termasuk Jackie Chan, Stephen Chow dan Cecilia Cheung.
Cheung memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, namun menukar gambar profil di semua akaun media sosialnya kepada warna hitam sebagai tanda berkabung.
Jackie Chan pula berkongsi rasa sedih menerusi media sosial dengan menyifatkan Patrick sebagai seorang senior yang banyak membimbingnya ketika di awal pembabitan dalam industri perfileman.
Sementara Stephen Chow turut memberikan penghormatan terakhir dengan menulis ringkas, "Semoga pelakon terbaik Patrick Tse bersemadi dengan aman."