Penyanyi, Sharee Lopes meluahkan rasa syukur apabila berjaya melancarkan lagu terbaharunya, Permainan meskipun tidak mara ke pusingan seterusnya dalam program Raise The Star Malaysia.
Menurut Sharee, pelancaran lagu ini dianggap sebagai rezeki besar yang hadir selepas kekecewaan lalu.
Advertisement
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur selepas Raise The Star saya dapat lancarkan lagu permainan ini. Saya percaya meskipun saya tak berjaya ke pusingan seterusnya pada ketika itu, rezeki Allah itu ada dimana-mana. Ini ibarat mengubati kekecewaan saya tempoh hari.
“Dan saya harap dengan pelancaran lagu ini ia dapat mengangkat nama saya dalam industri seterusnya lagu ini dapat diterima ramai,” katanya.
Tambah Sharee lagi, walaupun genre yang diketengahkannya mungkin jarang didengar peminat arus perdana, dia tetap mahu memperjuangkan muzik tersebut kerana ia merupakan identiti dirinya.
“Saya faham mungkin ada antara peminat muzik yang jarang dengar genre sebegini, tapi saya mahu perjuangkannya kerana itu adalah identiti dan kekuatan saya. Saya percaya lagu ini boleh diterima ramai, InsyaAllah,” ujarnya.
Lagu Permainan dicipta oleh Affan Mazlan dan Zarul Zahir, dengan sentuhan muzik yang segar dan menampilkan keunikan vokal Sharee Lopes.
Permainan sudah boleh mula distrim menerusi semua platform penstriman digital.